GEORGETOWN – Seperti tidak menghiraukan amaran yang telah dikeluarkan sebelum ini oleh pihak kerajaan, masih terdapat lagi perokok yang didapati melanggar arahan larangan merokok di restoran dan premis makanan.

Bermula 1 Januari, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang telah mengambil langkah yang lebih tegas dengan melancarkan operasi penguatkuasaan di lima buah daerah membabitkan 396 buah restoran dan premis makanan.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Asmayani Khalib, sebanyak 27 notis telah dikeluarkan pada hari pertama operasi terhadap perokok yang didapati melanggar peraturan. Sungguhpun begitu, masih ada yang tidak tahu langsung mengenai penguatkuasaan larangan tersebut.

KKM/Facebook

“Tujuan operasi ini diadakan bukanlah untuk menghukum tetapi kita mahu beri kesedaran serta kefahaman mengenai bahaya merokok, selain menggalakkan mereka untuk berhenti merokok”, tambah beliau lagi.

Operasi ini melibatkan anggota penguatkuasa yang difahamkan telah memeriksa sejumlah 14 buah premis makanan. Selain bertindak balas atas laporan yang dibuat oleh para pelanggan, pihaknya juga turut memeriksa sama ada notis larangan merokok telah dipamerkan.

Di sebuah premis makanan yang terletak di Jalan Perak, seorang pelanggan kedai terbabit didapati merokok semasa pemeriksaan dijalankan, di mana pesalah kemudiannya telah diberi kompaun secara serta merta.

Manakala seorang lagi perokok didapati merokok di luar kawasan premis, kurang 3 meter jaraknya daripada premis makanan dan telah diberikan kompaun sebanyak RM250 selain puntung rokoknya telah diambil untuk dijadikan bukti.

Menurut sumber, terdapat sebilangan pelanggan yang merokok di sebuah kedai makan difahamkan telah membuang rokok yang dihisap dengan pantas apabila mendapati bahawa pihak penguatkuasa memasuki premis berkenaan, sebelum rokok itu disapu oleh pekerja kedai.

Amaran kepada pihak premis turut dikeluarkan dan menurut anggota penguatkuasa, jika kompaun tersebut dibayar dalam tempoh sebulan, jumlah tersebut akan diberi diskaun namun jika tidak dilangsaikan, tindakan mahkamah akan diambil.

“Selain perokok, satu notis turut dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok mengikut Peraturan 12(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004”, kata Asmayani.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular