KUALA LUMPUR: Lapan pemilik gerai buah di Pasar Sentul berputih mata selepas kerugian besar tapak perniagaan hangus ketika sedang rakyat Malaysia bercuti sempena sambutan ambang tahun baru.


Kejadian yang berlaku kira-kira 9 malam itu melibatkan deretan kedai di bangunan separuh kekal yang menjual pelbagai barangan termasuk makanan dan pakaian.

Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba, Mohd Zain Abdullah Ali berkata, pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira kira jam 9.33 malam dan mengerahkan lima jentera dengan kekuatan 25 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Sentul, Hang Tuah, Sri Hartamas, Gombak Selatan dan Titiwangsa ke lokasi.

“Sebaik anggota tiba, api sedang marak dengan pantas dan kami dapat memadamkan kebakaran sepenuhnya setengah jam selepas itu.

“Kebakaran dengan keluasan 2,000 kaki persegi, melibatkan bangunan separuh kekal, terdiri daripada binaan batu-bata dan zink, melibatkan 14 unit kedai,” katanya yang dipetik Astro Awani.

Menurutnya, antara yang terjejas melibatkan kedai yang menjual beras, kain, makanan dan kuih muih.

Mohd Zain menjelaskan, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 10.24 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Punca kejadian dan anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Orang awam yang melalui jalan terbabit turut membantu memadamkan api.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular