- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Langit bertukar merah berikutan asap tebal, keadaan semakin buruk di Mallacoota

NEW SOUTH WALES: Kira-kira 4,000 penduduk di Mallacoota terperangkap di tepi pantai berikutan kebakaran belukar yang merebak dengan pantas dipercayai cuaca panas dan berangin.

Pemandangan menakutkan dilihat apabila waktu pagi di sekitar Gippsland di New South Wales (NSW) dan Victoria bertukar menjadi gelap dan kemerahan berikutan asap tebal dan api yang marak akibat krisis kebakaran yang semakin buruk itu.

Sam Mooy/Getty Images

Gambar dan rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan kebanyakan mangsa berlindung di tepi pantai dengan keadaan langit bertukar dari merah terang kepada hitam.

Awal pagi tadi, amaran turut dikeluarkan kepada penduduk di Mallacoota, Gipsy Point, Tamboon, Club Terrace, Combienbar dan lokasi sekitar supaya berlindung dan tidak meninggalkan kawasan tersebut.

“Anda kini berada dalam bahaya dan perlu mengambil langkah waspada. Pilihan paling selamat adalah tidak keluar dari rumah. Sudah terlambat untuk tinggalkan kawasan ini,” menurut amaran terbabit.

EAN DAVEY/AFP via Getty Images

Difahamkan, Mallacoota dan kawasan sekitar tidak menerima amaran pemindahan seperti di bahagian lain di East Gippsland pada akhir minggu lalu.

Api marak dengan cepat sejak semalam akibat tiupan angin kencang dan ribut petir.

Sementara itu, Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba New South Wales, Shane Fitzsimmons berkata, ada laporan awal kemungkinan berlaku tiga kematian di pekan kecil di negeri itu.

SAEED KHAN/AFP via Getty Images

Fitzsimmons berkata, keadaan tidak selamat bagi polis untuk pergi ke lokasi kejadian disebabkan ancaman kebakaran.

Terdahulu, pihak berkuasa mengesahkan dua lagi terbunuh dalam kebakaran di NSW sekali gus menjadikan angka kematian kini mencecah 12 orang.

loading...