- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Atas tali persaudaraan yang utuh, kaum Sikh sumbang tanah untuk bina masjid di India

Penindasan oleh kerajaan India terhadap masyarakat Islam berikutan dengan parlimen India yang meluluskan Akta Pindaan Kerakyatan, menerima tentangan hebat dan amarah oleh rakyat sehingga protes jalanan dilakukan.

Menerusi akta tersebut, kerakyatan akan diberikan kepada jutaan pendatang tanpa izin daripada tiga buah negara jiran, kecuali mereka yang beragama Islam.

Sungguhpun berbagai penindasan diterima, tali persaudaraan antara kaum Sikh dan masyarakat Islam masih lagi dalam keadaan yang baik.

Getty Images

Baru-baru ini, seorang petani bernama Darshan Singh yang menetap di kawasan Machike, daerah Moga, Punjab dikatakan telah menyumbang sebidang tanah miliknya secara percuma untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid.

Secara umumnya, terdapat sejumlah 15 buah keluarga Islam yang miskin tinggal di Machike dan difahamkan bahawa masjid yang sedia ada di bersebelahan lebuh raya Machike ke Barnala bakal dirobohkan untuk projek pembesaran jalan.

Selain daripada pusat ibadat, tanah bernilai lebih RM45,000 yang disumbangkan itu juga akan dibina dengan pusat masyarakat. Ini bukanlah kali pertama masyarakat Sikh membantu penduduk beragama Islam di India.

Sebelum ini, di wilayah Muzaffarnargar yang menjadi lokasi rusuhan perkauman pada tahun 2013, sebuah keluarga Sikh yang berasal dari bandar kecil, Purkazi, di wilayah itu telah menyumbangkan sekeping tanah seluas 900 kaki persegi untuk dibangunkan sebuah masjid.

Ketua keluarga berkenaan, Sukhpal Singh Bedi telah menyerahkan tanah tersebut dan ianya disifatkan sebagai ‘seva’ – khidmat bakti tanpa diharapkan sebarang balasan, dan bukanlah sebagai derma. Selain daripada itu, di New York, Amerika Syarikat, terdapat individu yang bertindak mengumpul dana untuk tujuan pembinaan masjid di India.

Individu tersebut, Darshan Singh dan anaknya, Jaspreet yang kini menetap di negara terbabit telah menggerakkan kempen sumbangan secara sukarela daripada orang awam menerusi laman GoFundMe, di mana ia berjaya menarik sokongan daripada 35 penyumbang.

Kempen ini meletakkan sasaran sebanyak $10,000 dan sehingga kini, sejumlah $1,600 telah berjaya dikumpulkan dan ianya akan terus dibuka sehingga sasaran tercapai. Di India, hubungan antara kaum Sikh dan penduduk Islam tidak menimbulkan perbalahan.

Mereka sebaliknya lebih bersifat persaudaraan yang saling bantu-membantu sesama kaum minoriti di negara tersebut yang di dominasi oleh mereka yang beragama Hindu. Ia juga berikutan dengan pembukaan Anjung Kartarpur pada awal bulan November lalu.

Pakistan telah membuka laluan ini bagi memudahkan kaum Sikh dari India untuk melawat Gurdwara Darbar Sahib di Kartarpur, Pakistan tanpa keperluan visa.

Sebelum ini, puluhan ribu pengikut ajaran Guru Nanak dari India terpaksa melalui jalan yang lebih jauh untuk ke sana.

loading...