TUARAN: Semua kanak-kanak di bawah umur lima tahun di negeri akan diberikan imunisasi polio secara oral dalam usaha mencegah penularan virus tersebut yang di kesan di sini, baru-baru ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, imunisasi itu akan diberikan secara berperingkat kepada semua bagi memastikan Sabah bebas daripada polio.

“Bagi mencapai matlamat itu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan memperluaskan kempen imunisasi ke seluruh daerah di Sabah terutamanya di kawasan yang berisiko.

Gambar Hiasan/Visual Hunt

“Objektif utama kempen ini adalah untuk semua kanak-kanak di bawah lima tahun diberikan imunisasi secara oral seterusnya mencegah kejadian jangkitan penyakit polio di Sabah,” katanya.

Terdahulu, beliau berucap merasmikan Kempen Imunisasi Polio (KIP) 2019/2020 di Dewan Taman Telipok Ria, dekat sini, 27 Disember, lalu.

Beliau menjelaskan, kempen yang bermula pada Jumaat telah memberikan imunisasi polio kepada lebih 1,000 kanak-kanak di kawasan itu.

Katanya, pasukan pemberi vaksin tersebut melibatkan 114 orang sukarelawan digerakkan untuk melaksanakan Kempen.

Dalam masa sama, lawatan rumah ke rumah akan diadakan untuk memberikan oral polio vaccine atau OPV kepada kanak-kanak yang layak akan dilaksanakan selepas ini secara berfasa, bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir daripada vaksin imunisasi polio.

Disamping itu katanya, pihaknya juga berharap agar ibu bapa memberi kerjasama dan sokongan kepada kempen dengan membenarkan anak-anak mereka mendapatkan dua dos imunisasi.

Sementara itu, Pengarah JKNS Datuk Christina Rundi berkata, jabatan itu menyasarkan menjelang Jun tahun depan setiap kanak-kanak di Sabah telah diberikan sebanyak dua dos imunisasi polio.

Katanya, imunisasi polio secara oral akan diberikan selang empat minggu antara dos pertama dan kedua.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular