Falun Gong atau juga disebut sebagai Falun Dafa merupakan satu amalan kepercayaan masyarakat China di mana ia menggabungkan unsur meditasi, ajaran kerohanian dan senaman ‘qigong’. Amalan kepercayaan ini turut mengetengahkan 3 elemen utama iaitu Sejati, Baik, Sabar. Amalan ini mendapat perhatian ramai dan semakin lama, jumlah pengamal yang mengikuti amalan ini semakin bertambah.

Pada pertengahan hingga ke akhir tahun 1990-an, Parti Komunis China (PKC) mula melihat peningkatan jumlah pengamal Falun Gong ini sebagai satu ancaman besar. Dikatakan pengamal amalan ini telah mencecah sehingga 70,000 orang menjelang tahun 1999. Hal ini menyebabkan pihak PKC mula mengambil langkah tertentu untuk ‘menangani’ ancaman ini. Antaranya, membunuh mana-mana individu yang menjadi pengamal ajaran Falun Gong.

Berdasarkan Laporan Hak Manusia pada tahun 2017 dengan jelasnya menyebut bahawa pengamal Falun Gong telah mendapat seksaan yang paling dahsyat berbanding kumpulan individu lain. Sejak Julai 1999, PKC di bawah pentadbiran Jiang Zemin telah memperkenalkan satu dasar yang dikenali sebagai ‘pemusnahan dari segi reputasi, fizikal, dan kewangan’. Melalui dasar ini, kerajaan PKC telah melaksanakan hukum seperti penculikan, penahanan secara haram, pendidikan semula, penangkapan, pembicaraan, menjatuhkan hukuman, menjadikan pesalah hamba secara paksaan, pengambilan organ, pembekuan wang pencen dan sebagainya.

Epoch Time

Terdapat banyak kes yang mendakwa pihak PKC telah menggunakan bermacam kaedah seksaan untuk menyeksa pengamal Falun Gong. Antaranya seperti seksaan menggunakan kejutan elektrik, api dan air (simbah air panas, cucuh badan tahanan dengan api puntung rokok, besi yang panas) menggari tangan, penjara, membiarkan tahanan dalam kebuluran, pukul-memukul, penderaan seksual, penyalahgunaan bahan terlarang, pengambilan organ tanpa izin dan sebagainya.

Satu lagi kaedah seksaan yang paling mengejutkan adalah menggunakan haiwan berbisa dan liar seperti ular, semut, kala jengking, nyamuk, tikus, berudu, khinzir, arnab liar, kucing serta serigala. Kesemua kaedah seksaan ini dilakukan semata-mata untuk menghapuskan pengamal Falun Gong buat selama-lamanya.

PENDERAAN FIZIKAL

Sekitar tiga tahun lalu (2016), seorang pengamal Falun Gong yang bernama Yin Liping telah mendedahkan kebenaran di sebalik pengkhianatan dan kekejaman yang dilalui oleh warga China khususnya pengamal amalan berkenaan. Menurut Yin, sewaktu dipenjarakan dia telah diperkosa oleh beberapa orang lelaki. Yin turut mendakwa bahawa terdapat ribuan lagi pengamal Falun Gong yang telah diseksa dan dianiaya akibat perbuatan PKC.

Sementara itu pada September 2007 pula, seorang pengamal Falun Gong dari Shouguang, wilayah Shandong iaitu Sang Chunlian menceritakan pengalamannya dibakar hidup-hidup oleh anggota polis. Menurut Sang, seorang demi seorang tahanan telah dibakar dan apabila pihak polis kehabisan bahan bakar, mereka dengan segera menggantikannya dengan bahan bakar baru selain bertindak memarakkan lagi api.

Epoch Time

Gao Rongrong merupakan seorang lagi mangsa penyeksaan di mana sewaktu mendiang menjadi tahanan di Kem Buruh Longshan, mendiang telah diseksa dengan menggunakan kaedah kejutan elektrik selama 6 ke 7 jam. Seksaan demi seksaan terus diberikan sehingga akhirnya iaitu pada tanggal 16 Jun 2005, sekitar dua tahun diseksa, Gao akhirnya meninggal dunia di usia yang muda iaitu 37 tahun.

Epoch Time

Seterusnya, Qin Yongjie yang berasal dari Guangxi. Bekerja di sebuah kilang yang terletak di Baoan, Shenzen, wilayah Guangdong, Qin telah ditahan secara haram pada tahun 2001. Di sana, Qin telah menjalani pelbagai seksaan seperti dipukul oleh pengawal penjara selain kakinya melecur akibat besi panas.

PENYALAHGUNAAN DADAH

Bagi menghapuskan jumlah pengamal Falun Gong yang semakin ramai, PKC telah mengarahkan pihak berkuasa untuk memberikan ‘rawatan perubatan dan pemberian dadah jika perlu’ kepada pengamal ajaran ini. Bermula pada Julai 1999, PKC telah memberikan dadah kepada semua tahanan dengan alasan untuk melakukan eksperiman klinikal sekali gus bertujuan untuk mencapai transformasi saintifik. Minghui.com telah mengeluarkan statistik pada awal tahun 2015 yang mencatatkan seramai 70 daripada 766 tahanan Falun Gong di wilayah Heilongjiang telah mati akibat penyalahgunaan bahan terlarang ini.

Song Huilan dari Ladang Xinhua di Hegang (wilayah Heilongjiang) telah ditahan di Balai Polis Hengtoushan dan seterusnya dibawa ke Pusat Tahanan Tangyuan pada Disember tahun 2010. Pada 23 Februari 2011, Song telah dipaksa untuk mengambil campuran dadah tertentu dan dengan serta-merta, Song mengalami tindak balas kesan daripada pengambilan bahan itu. Song lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan badan serta lidahnya menjadi kaku.

Epoch Time

Kira-kira 5 hari kemudian, terdapat benjolan berwarna ungu yang besar pada kaki kanannya. Song tidak lagi boleh berjalan, seluruh tubuh menjadi kaku, fungsi otaknya juga menjadi lemah dan Song mengalami hilang ingatan sementara. Sebatian dadah yang beracun itu telah membuatkan kaki Song menjadi hitam dan keras seperti besi. Tanggal 25 Mei 2011, kaki kanan Song terpaksa dikudungkan.

Epoch Time

Zhu Yifang dari Sichuan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 7 tahun. Bagaimanapun pada 14 November 2006, Zhu telah diculik dari Penjara Wanita Chengdu lalu dimasukkan ke sebuah hospital. Di sana, Zhu telah dipaksa untuk mengambil 2 ke 8 botol campuran dadah setiap hari. Akibatnya, Zhu mengalami kesakitan yang teramat sangat pada saluran darah dan beberapa bahagian badannya juga membengkak.

PEMERKOSAAN DAN GANGGUAN SEKSUAL

Pada 18 November 2001, seorang wanita warga emas bernama Zou Jin telah dipenjarakan selama 9 tahun. Pada suatu malam, Zou dikatakan tidak memberikan kerjasama ketika sesi perbicaraan. Tidak berpuas hati dengan itu, tiga anggota polis telah mengikat Zou di atas katil dan merogol wanita tua itu secara bergilir-gilir. Kemudian, mereka telah memasukkan baton elektrik ke dalam faraj Zou bertujuan untuk membuatkan Zou mengaku. Keengganan Zou untuk menjawab persoalan yang diajukan menyebabkan dia diseksa dengan serangan kejutan elektrik itu tanpa henti sehingga Zou pengsan tidak sedarkan diri manakala alat sulitnya mula mengalami pendarahan. Selama sebulan Zou terpaksa hidup dalam kesakitan. Dia tidak boleh duduk mahupun berjalan. Pada pagi bulan Mac tahun 2011, Zou telah meninggal dunia.

Kes seterusnya ini pula melibatkan pemerkosaan ke atas seorang wanita bernama Zhu Xia. Xia telah ditahan pada Jun 2003 di Kem Buruh Wanita Tokong Zizhong Nanmu. Xia telah beberapa kali dirogol oleh pengawal penjara. Setahun kemudian, Xia dibebaskan namun di dalam keadaan yang menyedihkan di mana mentalnya terganggu atau dalam erti kata lain, Xia tidak lagi waras seperti dahulu.

PENGGUGURAN BAYI

Mana-mana wanita yang didapati sedang mengandung akan dipaksa untuk menggugurkan kandungan dan kaedah yang dilakukan untuk tujuan ini begitu dahsyat dan mengerikan.

Pada Mac 2016, Zhang Hanzhang, seorang jurutera telah bertindak memfailkan saman terhadap Jiang Zemin di atas tindakan tidak bermoral yang dilakukan ke atas pengamal-pengamal Falun Gong. Ekoran kejadian itu, pihak berkuasa telah diarahkan untuk memberkas Zhang namun gagal. Hal ini demikian kerana Zhang sedang sarat mengandung dan menetap bersama seorang saudara kira-kira 90 km dari tempat tinggalnya. Pihak polis kemudian bertindak menyita tapak pembinaan milik abangnya manakala suaminya pula digari dan dimalukan di khalayak ramai. Ahli keluarga dan kenalan Zhang telah dipaksa untuk menyerahkan wanita itu ke tangan pihak berkuasa. Akhirnya, Zhang telah ditangkap dan ditahan untuk menjalani kelas ‘brainwash’. Bagaimanapun, pihak polis mendapati Zhang sedang hamil lalu membuat keputusan untuk membunuh bayi dalam kandungan dengan kejam.

PENGAMBILAN ORGAN SECARA PAKSA

Semenjak media luar negara mendedahkan mengenai aktiviti pengambilan organ oleh PKC pada tahun 2006, timbul banyak kes yang disyaki menjadi bukti kepada dakwaan tersebut. Siasatan demi siasatan yang terperinci telah dilakukan oleh ramai pihak dan akhirnya berjaya membuktikan kebenaran yang disangkal oleh PKC selama ini.

Profesor Li Huage dari Universiti Pusat Perubatan Mainz di Jerman telah menerbitkan sebuah artikel mengenai siapa dan bagaimana aktiviti haram ini dilakukan. Berdasarkan artikel tersebut, tahanan Falun Gong telah disuntik dengan dadah ketika operasi pengambilan organ secara paksa dilakukan.

Xu Zhen, 46 tahun telah ditahan sewaktu dia mengedarkan risalah mengenai Falun Gong. Di sana, Xu telah dipukul tanpa belas kasihan sehingga badannya membengkak dan dia juga dipaksa untuk menulis sepucuk surat yang menyatakan kerelaannya untuk menderma organ. Kedegilan Xu untuk berbuat demikian menyebabkan dia telah diseksa oleh pengawal penjara. Salah seorang saksi kejadian iaitu Deng Guangying berkata, “Ketika dia (Xu) ditarik keluar, jam pada waktu itu menunjukkan pukul 2 pagi. Jeritannya mengejutkan semua tahanan. Mereka mengorek matanya hidup-hidup!”

Selepas Xu meninggal dunia, pihak kem tahanan langsung tidak menyampaikan berita berkenaan kepada keluarga mendiang.


Sejujurnya, kes-kes yang dikongsikan di atas hanyalah sebahagian daripada kekejaman dan pengkhianatan yang dilakukan oleh PKC terhadap pengamal Falun Gong, dan juga terhadap etnik Uighur dan orang Kristian. Masih banyak lagi aktiviti ‘gelap’ yang disembunyikan oleh PKC. Malah, carian di Internet mengenai aktiviti haram dan tidak bermoral ini juga telah disekat oleh pemerintah PKC demi menjaga nama dan menutupi segala kejahatan yang dilakukan. Semoga kebenaran akan terbongkar suatu hari nanti…

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran Kempen

Video Popular