KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 persatuan polis bersara telah berhimpun untuk membantah cubaan untuk mengembalikan ideologi komunis di negara ini. Himpunan yang dihadiri kira-kira 1,000 orang berkenaan difahamkan bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, pada 24 Disember yang lalu.

Acara yang berlangsung di Padang Merbok tersebut menyaksikan beberapa veteran polis menyampaikan ucapan memprotes komunis selain menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas kepada mereka yang cuba membangkitkan semula ideologi berkenaan.

Ismail Che Ros, selaku Presiden Persatuan Pegawa-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) berkata bahawa insiden yang berlaku pada tahun ini bukanlah satu kebetulan namun ia menunjukkan kepada usaha mengembalikan semula ideologi komunis.

“Tiga puluh tahun telah berlalu dan kami tidak mendengar apa-apa ancaman (komunis) tetapi bermula pada September, tindakan pertama mereka (bekas ahli komunis) adalah membawa masuk abu mayat Chin Peng (bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya) ke negara ini tanpa persetujuan daripada mana-mana pihak”.

“Kemudian mereka memaparkan sepanduk dan gambar Chin Peng. Selepas itu, bendera kebangsaan pula diterbalikkan. Adakah ini kebetulan? Atau adakah ia berlaku dengan tujuan?”, soal beliau dalam ucapannya.

Beliau turut mengingatkan kerajaan untuk berhati-hati dan menghalang semua usaha kebangkitan PKM. “Kepada kerajaan baru, kami mendesak supaya tidak ambil ringan perkara ini. Mereka mesti berhati-hati dan memastikan bahawa PKM tidak mendapat kuasa”.

Tambahnya lagi, perhimpunan bekas anggota PKM pada awal bulan ini mendedahkan hasrat mereka untuk memulihkan ideologi komunis. “Terdapat 2 perhimpunan – satu di Sepang dan satu lagi di Kajang, di mana ia turut dihadiri oleh ahli politik, NGO dan ahli akademik. Ucapan mereka juga berunsurkan komunisme”.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri juga perlu menyatakan pendirian dengan lebih tegas serta mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur jika didapati bahawa ianya jelas melanggar undang-undang.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya sendiri tidak mengetahui tentang dalang di sebaliknya. Hal ini kerana, jika PKM mahu kembali aktif, mereka perlu melalui proses undang-undang di bawah kuasa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Namun, beliau yakin anggota polis Cawangan Khas tahu mengenainya.

Himpunan berkenaan turut dihadiri oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar, Tan Sri Musa Hassan dan beberapa bekas pemimpin kanan PDRM. “Hampir semua orang telah melupakan apa yang kami lalui. Kami adalah pejuang pertama di dunia yang benar-benar mengalahkan revolusi komunis dan kami melakukannya dua kali, ini kerana semangat kami”, katanya.

Beliau juga sempat mengimbas kembali kejadian berdarah di mana pihak komunis telah membunuh 3 orang bapa saudaranya selain menyeksa ramai individu yang dikenalinya di Teluk Intan satu ketika dahulu. “Siapa pemimpin mereka? Chin Peng”, jelasnya.

11 persatuan berkenaan termasuklah Persatuan Veteran VAT 69 Komando, Persatuan Bekas Unit Tindakan Khas, Persatuan Polis Pencen Malaysia, Persatuan Polis Pencen Melaka, Persatuan Polis Pencen Johor, Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Persatuan Skuad 72, Skuad 69 Polis Diraja Malaysia, Persatuan Batalion 7 Pasukan Polis Hutan, dan Persatuan F Team.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular