LONDON – Syarikat pasaraya gergasi British, Tesco difahamkan telah menggantung produk kad Hari Natal dari China setelah satu laporan daripada pelanggan yang mendapati terdapat mesej di dalam kad yang mendakwa bahawa ianya telah dibungkus oleh tahanan asing yang menjadi buruh paksa.

“Kami benci penggunaan buruh penjara dan tidak akan membenarkannya dalam rantaian bekalan kami. Kami terkejut dengan dakwaan ini dan segera menggantung kilang kad itu dihasilkan serta turut menjalankan siasatan, selain mengeluarkan kad-kad berkenaan daripada jualan”, jelas wakil Tesco.

Gambar Hiasan | BEN STANSALL/AFP via Getty Images

Secara umumnya, Teso yang merupakan peruncit terbesar di Britain telah menyumbangkan sebanyak £300,000 (RM1.6 juta) setahun daripada hasil penjualan kad kepada badan amal British Heart Foundation, Cancer Research UK dan Diabetes UK.

Berdasarkan mesej di dalam kad berkenaan, ia bertulis, “Kami adalah tahanan asing di dalam Penjara Shanghai Qingpu, China dan telah dipaksa bekerja keras tanpa kerelaan kami. Tolong bantu kami dengan memaklumkan perkara ini kepada organisasi hak asasi manusia. Gunakan pautan untuk menghubungi En. Peter Humphrey”.

Untuk makluman, Peter Humphrey adalah merupakan seorang bekas penulis dan penyiasat serta penipuan korporat. Dia dan isterinya (warganegara Amerika Syarikat), Yu Yingzeng, kedua-duanya telah ditahan di China pada tahun 2014 kerana memperolehi rekod peribadi warganegara China secara tidak sah dan menjual maklumat itu kepada pelanggan, termasuk syarikat terkemuka, GlaxoSmithKline (GSK).

Pasangan itu walau bagaimanapun telah dihantar pulang dari China pada bulan Jun 2015 setelah syarat hukuman penjara mereka dikurangkan. Mesej di dalam kad tersebut difahamkan telah dijumpai oleh seorang kanak-kanak perempuan 6 tahun, Florence Widdicombe di kota London. Bapa Florence kemudiannya telah menghubungi Humphrey menerusi laman sosial, LinkedIn.

Menulis untuk Sunday Times, Humphrey tidak mengetahui tentang identiti ataupun warganegara tahanan yang meninggalkan mesej pada kad itu. Namun dia tidak meragui bahawa tahanan itu merupakan banduan di penjara Qingpu yang mengenalinya sebelum dia dibebaskan setelah berada di penjara itu selama 23 bulan.

Tesco berkata bahawa syarikat itu sedang menjalankan proses pengauditan yang komprehensif. “Pembekal ini telah diaudit pada bulan lepas dan tiada bukti yang mendapati bahawa mereka melanggar peraturan yang mengharamkan penggunaan buruh penjara. Sekiranya pembekal melanggar peraturan ini, maka kami akan menyingkirkannya segera secara kekal”, kata jurucakapnya.

Menurut Tesco, kad berkenaan telah dicetak dan dihasilkan di sebuah kilang Percetakan Zheijiang Yunguang, terletak kira-kira 60 batu dari penjara Shanghai Qingpu. Kilang itu difahamkan menjalankan aktiviti percetakan kad dan buku untuk produk syarikat farmaseutikal dan juga untuk Tesco.

Usaha untuk mendapatkan komen daripada syarikat berkenaan menerusi dua panggilan telefon dan e-mel tidak mendapat apa-apa respon setakat ini. Sebelum ini pada tahun 2012, seorang wanita di Amerika Syarikat telah menemui sepucuk surat tulisan tangan di dalam dekorasi Halloween yang dibelinya di Kmart.

Surat itu difahamkan telah ditulis oleh seorang tahanan di Kem Buruh Masanjia, Shenyang, di mana dia merayu bantuan. “Tolong hantar surat ini kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR)”.

Individu itu juga sempat menjelaskan tentang keadaan sukar yang dialaminya, iaitu bekerja selama 15 jam sehari tanpa rehat. Termasuklah pada hujung minggu ataupun hari cuti awam selain turut disiksa dan menerima penderaan secara lisan.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular