KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memohon maaf kepada keluarga dan pesakit kanser yang terpaksa hadir ke KWSP di Johor Bharu walaupun keadaan terlantar atas katil bagi mengeluarkan wang caruman.

KWSP ambil maklum mengenai berita yang sedang tular berkaitan pengalaman perkhidmatan dari salah seorang ahli KWSP di Johor Bahru.

“KWSP amat kesal dan mohon maaf atas pengalaman kurang menyenangkan yang dialami ahli tersebut dan keluarganya.

“KWSP menegaskan bahawa pihak KWSP sentiasa mengambil berat terhadap aduan atau maklum balas daripada ahli mengenai tahap perkhidmatan untuk tujuan penambahbaikan berterusan,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pihak KWSP telah menghubungi dan berjumpa dengan ahli tersebut dan keluarganya untuk memahami situasi ini dengan lebih lanjut.

Kenyataan dikeluarkan Meja Media KWSP itu turut memaklumkan bahawa langkah diambil pihaknya bukan sahaja bertujuan membantu kes ahli tersebut, malah akan menggunakan pengalaman terbabit dalam memperbaiki proses sedia ada.

Katanya, KWSP sepatutnya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan prihatin kepada ahli.

“Sekali lagi, kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang telah berlaku.

“Di sini juga ingin kami menegaskan bahawa pihak KWSP sentiasa mengambil berat terhadap aduan atau maklum balas daripada ahli mengenai tahap perkhidmatan untuk tujuan penambahbaikan berterusan,” katanya.

Pengalaman menyedihkan tersebut dikongsi ahli keluarga pesakit berkenaan di media sosial.

Pemilik Facebook, Nur Sheila Abdullah, membawa kakaknya berusia 56 tahun yang hilang upaya dan terlantar di atas katil dibawa ke KWSP berkenaan menggunakan ambulans.

Pesakit berkenaan bercadang mengeluarkan caruman dalam akaun pertama yang mempunyai baki tabungan kurang RM10,000 bagi menampung kos rawatan.

“Kami meminta jasa baik pihak pegawai KWSP membuat lawatan ke rumah untuk mendapatkan cop jari secara manual dan pengesahan diri pencarum,”katanya.

Bagaimanapun permohonan itu ditolak selepas pegawai meminta pencarum menghadirkan diri walaupun dalam keadaan menaiki ambulans.

“Pegawai perubatan menolak stretcher masuk ke kaunter. Allahuakbar… sedih tengok kakak saya yang memang sudah tidak ada daya upaya mengangkat tangannya itu, terus menjadi tontonan orang ramai,” katanya.

Nur Sheilamendedahkan perkongsian yang dialami kakaknya itu bukan berniat mencari kesalahan tetapi mahu perubahan sebagai kemudahan kepada pencarum di masa akan datang.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular