- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

‘Najib arah saya bunuh Altantuya’ -pendedahan bekas Unit Tindakan Khas

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri membuat dakwaan mengejutkan melalui akuan bersumpah (SD) di Penjara Kajang mendakwa menerima arahan daripada Datuk Seri Najib Razak untuk membunuh Altantuya Shaariibuu.

Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada bekas perdana menteri Najib Abdul Razak (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri atau TPM) dan rakan rapatnya Abdul Razak Baginda.

Memetik laporan eksklusif portal Malaysiakini, Azilah mendakwa dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis.

Beliau mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan ketika prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya “keadilan dapat ditegakkan”.

“Saya menegaskan di sini bahawa tujuan saya mengemukakan keterangan-keterangan dan fakta-fakta material di atas adalah bukan hanya kerana saya telah dianiaya oleh pihak-pihak berkepentingan tetapi juga bertujuan untuk saya zahirkan perkara sebenar yang telah terjadi di dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

“Saya juga berharap agar sahabat-sahabat saya di UTK secara khususnya dan PDRM secara amnya berhati-hati dalam menjalankan arahan yang diberikan supaya kes penganiayaan seperti yang dihadapi saya ini tidak berulang lagi,” katanya.

Dalam SD bagi menyokong permohonannya, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya supaya “tangkap dan hapuskan” Altantuya, yang menurutnya, diberitahu sebagai “perisik asing” dan “berbahaya kepada keselamatan negara”.

“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher,” SD itu dipetik.

“Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing tersebut, TPM menjawab, ‘Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan.’”

Azilah juga mendakwa Najib memberitahu supaya “berhati-hati dengan perempuan perisik asing tersebut kerana mendakwa pandai berkata-kata dan penuh tipu helah dan satu daripada adalah beliau mendakwa sedang mengandung.”

Dalam masa sama, Azilah turut menjelaskan kenapa beliau baru membuat permohonan menyemak semula kes itu.

Dalam afidavitnya, Azilah berkata, pada awal 2018, dia telah merancang untuk membuat SD itu tetapi menangguhkannya kerana bimbang disalah guna menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Azilah berkata, pada 17 Oktober beliau ada berjumpa Najib di Pekan, Pahang 2006 dan mendakwa Najib mengarahkannya membunuh perisik asing.

Malah, Azilah mendakwa perkara itu diulangi Razak Baginda di pejabatnya pada keesokannya.

Berdasarkan SD itu, Azilah mendakwa Razak Baginda juga bertanya sama ada dia ingat wanita yang ditemui beliau dan TPM di sebuah lobi kondominium di London.

“Saya beritahu bahawa saya tak berapa ingat tentang perempuan itu tetapi tugas eskot (mengiring) TPM dan Razak Baginda dari hotel penginapan ke kondominium itu saya ingat. Razak Baginda beritahu perempuan itulah perisik asing yang dimaksudkan,” katanya.

Dakwanya, selepas beliau lihat wanita itu di luar kediaman Razak Baginda di Bukit Damansara kemudiannya, beliau ingat pernah bertemunya bersama Razak dan Najib di kondominium terbabit.

Dalam afidavitnya, beliau menyebut tiada motif atau sebab untuk membunuh Altantuya tetapi Najib dan pegawai polis terbabit, memberitahu operasi itu berkaitan keselamatan negara.

“Selepas operasi sulit itu dilaksanakan, saya diarahkan untuk memberikan kerjasama di dalam siasatan polis dan saya juga diberikan jaminan oleh pegawai polis terbabit bahawa sebarang perkara berbangkit akan dibantu oleh TPM selagi saya tidak babitkan nama baik TPM.

“Pada setiap masa material, saya percaya bahawa saya bertanggungjawab menyimpan segala rahsia operasi sulit itu dan yakin bahawa saya akan dibantu oleh TPM sama ada dengan cara bahawa saya tidak akan dituduh di mahkamah dan/atau bahawa sebarang isu berbangkit di dalam operasi sulit ini akan diselesaikan,” katanya.

Semasa siasatan polis, Azilah berkata, pasukan siasatan menyedari ‘pembabitan’ TPM, tetapi menafikan maklumat itu datang daripadanya. Katanya, beliau mengesyaki maklumat berkenaan diperoleh daripada Sirul.

Antara lain, Azilah dalam afidavitnya mendakwa beliau menerima arahan lisan, tidak secara bertulis daripada TPM dan pegawai polis terbabit.

loading...