Baru-baru ini, negara digemparkan dengan kes polio yang berlaku di Daerah Tuaran, Sabah seperti yang didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, di mana seorang budak lelaki berusia 3 bulan mengalami demam dan lumpuh pada 26 Oktober lalu.

Ujian yang dilakukan oleh World Health Organization’s Regional Polio Reference Laboratory di Melbourne, Australia pada 6 Disember lalu mengesahkan bahawa penyakit yang dialami budak terbabit berpunca daripada virus polio yang kini sedang menular di bahagian Selatan Filipina, sedangkan kes polio terakhir di Malaysia direkodkan pada tahun 1992.

“Kami ambil serius terhadap kes polio yang telah disahkan di Sabah. WHO dan UNICEF berdiri teguh bersama-sama Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak ini selain memastikan kesemua kanak-kanak di Malaysia menerima perlindungan penuh menerusi vaksin polio”, kata Dr. Ying-Ru Lo selaku wakil WHO di Malaysia.

TED ALJIBE/AFP via Getty Images

“Satu-satunya cara yang berkesan untuk melindungi kanak-kanak daripada polio adalah suntikan vaksin. Kita mesti berusaha untuk menghentikan penularannya supaya setiap kanak-kanak, tanpa mengira status ekonomi atau latar belakang, dilindungi daripada penyakit yang dahsyat ini”, jelas wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh.

Polio merebak dalam populasi dengan liputan imunisasi yang rendah. Virus ini berpotensi untuk mengakibatkan lumpuh dan juga kematian. Kes polio di Sabah merupakan satu keadaan virus polio yang agak jarang dipanggil ‘circulating vaccine-derived polio’ (cVDPV) jenis 1. Ia hanya terjadi jika populasi tidak dilindungi oleh imunisasi.

Kes polio di Sabah secara genetiknya dikaitkan dengan peredaran virus polio yang berterusan di Selatan Filipina – yang mengisytiharkan wabak polio pada 19 September 2019. WHO dan UNICEF telah memberikan nasihat teknikal mengenai tindak balas wabak, pemantauan dan sokongan kepada mereka yang berisiko.

RIZWAN TABASSUM/AFP via Getty Images

Kanak-kanak merupakan golongan yang paling berisiko terkena penyakit polio. Oleh itu, para ibu bapa dan penjaga perlu memastikan anak-anak dibawah jagaan masing-masing yang berumur 5 tahun ke bawah menerima suntikan vaksin.

Vaksin polio adalah selamat dan berkesan selain sudah terbukti mengurangkan kes polio sebanyak 99% di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, vaksin polio mesti diberikan beberapa kali bagi menghentikan wabak ini sekaligus melindungi kanak-kanak secara amnya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular