Berikutan dengan apa yang berlaku di Hong Kong, satu temubual dijalankan oleh seorang wartawan The Epoch Times, Jan Jekielek bersama dengan seorang aktivis berusia 20 tahun, Joey Siu selaku Naib Presiden Kesatuan Pelajar di City University of Hong Kong.

Menurutnya, Parti Komunis China (PKC) sedang menindas kedaulatan serta kesemua gerakan pro-demokrasi yang berlaku disebabkan oleh mereka bimbang bahawa idea melindungi hak asasi manusia, selain kebebasan dan demokrasi bakal menular di China.

Beliau yang juga jurucakap Hong Kong Higher Institutions International Affairs Delegation (HKIAD) – iaitu satu gabungan kesatuan pelajar daripada 11 buah universiti di Hong Kong turut berkata bahawa mereka banyak berjuang menentang PKC memandangkan kerajaan Hong Kong hanyalah wayang yang telah dimanipulasikan.

Menyedari akan betapa besarnya impak undang-undang ekstradisi yang diperkenalkan oleh kerajaan, maka Joey dan wakil-wakil pelajar daripada beberapa buah universiti di Hong Kong mula menyedari bahawa mereka perlu memulakan langkah advokasi agar mereka kekal berhubung dengan komuniti antarabangsa.

Ditanya mengenai kesan terhadap apa yang berlaku di Hong Kong terhadap masyarakat dunia, Joey menegaskan bahawa Hong Kong sudah dikenali sebagai satu pusat ekonomi yang sangat penting selain memainkan peranan utama khususnya dalam aspek kewangan.

Mengulas lanjut, Joey menambah bahawa sebanyak 70% daripada pelaburan asing masuk ke China adalah menerusi Hong Kong, di samping menjadi pusat penyebaran idea tentang kebebasan, demokrasi dan juga hak asasi manusia.

Gerakan menentang PKC di Hong Kong menurutnya tidak dipimpin oleh mana-mana individu. Hal ini bertujuan untuk menyukarkan pihak kerajaan di Hong Kong dalam menyasarkan kepada mana-mana individu yang memimpin gerakan berkenaan.

Sungguhpun begitu, Joey masih lagi perlu menjaga keselamatan dirinya ekoran kumpulan berpakaian putih yang menyerang peserta demonstrasi. Namun ia sama sekali tidak mendatangkan sebarang isu buatnya memandangkan terdapat banyak lagi peserta yang sanggup merisikokan keselamatan diri mereka.

Ketika ditanya tentang keberkesanan pergerakan ini tanpa pemimpin, Joey menjelaskan bahawa peserta banyak belajar daripada pengalaman lampau (Umbrella Revolution 2014), di mana pada ketika itu pihak kerajaan dan PKC mudah menyasarkan pemimpin dan menghentikan pergerakan berkenaan.

Pada ketika itu juga, pemimpin gerakan yang berprotes turut diserang. Maka ia sedikit sebanyak membuka mata generasi masyarakat sekarang untuk melakukan penambahbaikan. Demonstrasi dan protes yang dijalankan tanpa pemimpin dilihat lebih berkesan.

Demontrasi tanpa sebarang pemimpin di Hong Kong juga menyaksikan banyak perhimpunan dengan tema yang pelbagai serta kempen yang dilaksanakan daripada golongan yang memprotes. Ternyata ia membantu mengekalkan pergerakan ini agar terus mendapat perhatian dunia.

Menjelaskan tentang PKC sebagai dalang kepada semua yang terjadi di Hong Kong, Joey sekali lagi berkata bahawa kerajaan Hong Kong merupakan wayang yang telah dimanipulasikan oleh PKC. Beliau percaya sepenuhnya bahawa kerajaan Hong Kong bertindak di atas arahan PKC yang telah merancang masa depan Hong Kong.

“Tanpa keizinan dan arahan daripada PKC, maka pihak kerajaan Hong Kong tidak mampu membuat keputusan besar dan penting sebegini”, jelas Joey. Begitu juga dengan arahan yang diterima oleh pihak polis, di mana tindakan ganas mereka sudah pasti memburukkan lagi keadaan.

Penggunaan senjata dan tindakan yang ganas terhadap mereka yang terlibat dengan protes sudah jelas membuktikan bahawa pihak polis Hong Kong kini tidak lagi berkelakuan seperti sebelumnya – tidak melindungi orang awam sebaliknya menyerang.

Bercakap mengenai tindakan ganas daripada pihak pelajar yang berdemonstrasi, Joey menjelaskan bahawa masyarakat perlu sedar akan hakikat bahawa pihak polis menyerang peserta demonstrasi dengan pelbagai senjata – gas pemedih mata, peluru getah, meriam air dan sebagainya di dalam kampus universiti.

Situasi berkenaan sebenarnya merupakan satu tindak balas normal terhadap sebarang kekacauan dan keganasan yang berlaku dalam usaha untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa keganasan. Objek perlindungan (meja, kerusi, tilam) yang mereka gunakan ternyata tidak setara dengan senjata yang digunakan oleh pihak berkuasa.

Tambah Joey lagi, beberapa orang rakannya turut menjadi mangsa serangan seksual dan keganasan berasaskan gender, di mana tindakan sedemikian menurutnya adalah agak lazim berlaku dalam kalangan peserta wanita dan juga lelaki secara lisan dan fizikal.

Baru-baru ini, Joey mendedahkan bahawa terdapat seorang mangsa wanita yang tidak menyertai mana-mana demonstrasi namun dia ditahan dan dibawa ke balai polis sebelum dirogol oleh 4 orang anggota polis. Malangnya, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak kerajaan berhubung insiden itu.

Berkaitan dengan aktiviti penuaian organ yang berlaku khususnya pada golongan yang mengamalkan Falun Dafa atau Falun Gong oleh rejim PKC, beliau pada mulanya tidak mempercayai perkara sedemikian berlaku di dunia.

Namun, setelah membaca banyak bahan bacaan dan artikel kajian yang telah diterbitkan, Joey akhirnya mempercayai bahawa ia merupakan satu aktiviti biasa dan ‘normal’ berlaku di China. Oleh sebab itulah, beliau berusaha untuk membawa isu ini kepada pengetahuan masyarakat di Hong Kong.

“Jika kita tidak melawan PKC di Hong Kong, maka perkara sebegini juga turut akan berlaku di Hong Kong”, jelasnya. Ditanya mengenai kesahihan para peserta demonstrasi yang dihantar ke tanah besar China, Joey menjelaskan bahawa mereka buat masa ini tidak mempunyai sebarang bukti untuk mengesahkannya.

Pihak kerajaan di China juga turut menyalahgunakan teknologi yang dimiliki untuk ‘mengawal’ segala tindak tanduk masyarakat di Hong Kong, di mana banyak bangunan di kota berkenaan dilengkapi dengan kamera beresolusi tinggi yang dipercayai berupaya mengenalpasti wajah mana-mana individu.

Kerjasama syarikat teknologi gergasi seperti Huawei dari China dengan negara luar dilihat bukan sahaja untuk berkongsi kepakaran dalam teknologi bahkan mempunyai muslihat di sebaliknya, di mana ia berkait rapat dengan keselamatan kebangsaan.

Di negara-negara Afrika misalnya, mereka membantu menyalurkan kepakaran teknologi yang dimiliki namun ia sebenarnya satu ‘ancaman’ kepada negara-negara berkenaan. “Kita semua harus sama-sama menentang China agar mereka tidak berupaya mengawasi masyarakat dunia”, akhirinya.

Saksikan temubual penuh menerusi video di bawah :

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular