Bermula 1 Jan 2020, kerajaan telah menguatkuasakan penggunaan keselamatan kerusi kanak-kanak (CRS) demi memastikan dan mengelakkan kanak-kanak mengalami kecederaan serius.

Hakikatnya, ramai yang masih tidak mengetahui, had masa yang disarankan bagi anak kecil (bayi hingga kanak-kanak berusia empat tahun terutamanya) boleh diletakkan dalam carseat tidak melebihi dua jam secara berterusan.

Gambar Hiasan/YouTube

Baru-baru ini, pakar dalam dunia perkembangan awal kanak-kanak, Dr. Putri Afzan Maria berkongsi maklumat dan menjelaskan sekiranya bayi dan kanak-kanak duduk dalam carseat melebihi dua jam secara berterusan boleh menyebabkan;

1) Gangguan proses pertumbuhan tulang belakang.

2) Menyebabkan masalah tulang belakang di masa akan datang.

3) Gangguan saluran pernafasan jika anak tidur dalam posisi kepala tunduk ke depan atau mendongak.

4) Kematian akibat kekurangan oksigen bagi kes-kes tertentu.

Tambahnya lagi, kanak-kanak yang duduk dalam carseat dalam satu posisi juga dalam tempoh masa yang lama akan memberikan tekanan pada tulang belakang.

“Bukan hanya orang dewasa, bayi dan kanak-kanak juga tidak terkecuali mengalami masalah tulang belakang dan masalah kekejangan otot.

“Lebih-lebih lagi, struktur tulang belakang mereka masih belum cukup kuat. Proses pertumbuhan tulang belakang boleh terganggu dan boleh juga menyebabkan masalah tulang belakang di masa hadapan,” katanya yang dikongsi menerusi Facebook.

Tegas beliau lagi, dalam perjalanan yang jauh, sudah pasti anak-anak akan tertidur ketika duduk di dalam carseat mereka.

Keadaan itu jelas beliau, saluran pernafasan bayi kecil dan sempit.

“Sekiranya bayi dan kanak-kanak tidur dalam posisi kepala tertunduk ke depan, aliran udara ke paru-paru akan terbatas boleh menyebabkan kekurangan oksigen.

“Apabila penurunan tahap oksigen dalam darah lebih rendah daripada 90 peratus keadaan yang dipanggil ‘Hypoxia’ boleh berlaku,” katanya.

Keadaan itu jika berterusan dalam tempoh yang lama, boleh juga menyebabkan sawan, koma, kerosakan pada otak dan juga kematian.

Bayi dan anak kecil dengan tulang leher belum cukup kuat, tak cukup berat, bayi pramatang, serta bayi dan kanak-kanak yang mempunyai masalah jantung/paru-paru lebih berisiko tinggi mengalami masalah gangguan pernafasan ini.

Namun risiko ini dapat dikurangkan dengan penggunaan carseat dengan ciri-ciri keselamatan dan mempunyai pad sokongan untuk kepala.

Sehubungan itu, perlu diingatkan, penggunaan carseat masih berisiko dan mampu dielakkan dengan menepati had masa yang disyorkan, bersesuaian dan mengikut piawaian.

Risiko gangguan kesihatan ini juga ternyata lebih rendah berbanding risiko kematian bayi dan kanak-kanak akibat kemalangan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular