NEW ZEALAND – Gempa bumi dengan kekuatan 5.3 skala Richter yang berpusat di Gisborne dilaporkan telah menggegarkan kawasan bandar itu kira-kira sehari selepas berlakunya satu lagi bencana letusan gunung berapi yang mengorbankan seramai lima nyawa.

Gempa bumi berkekuatan sederhana itu dikhabarkan menggegarkan bahagian selatan Gisborne sepanjang 25km sekitar jam 1 petang waktu tempatan (Isnin). Beberapa laporan media turut memaklumkan bahawa pusat kedalaman gempa ini adalah sedalam 29km dan gegarannya boleh dirasai sehingga ke Cambridge, Hunterville, Dannevirke serta Wellington.

Malah majoriti penduduk di Whakatane turut mendakwa bahawa mereka merasai gegaran daripada bencana gempa bumi itu meskipun jarak di antara pekan Whakatane dengan Gisborne adalah sejauh 180km. Bagaimanapun, tiada sebarang kehilangan nyawa mahupun kecederaan dicatatkan berlaku ekoran daripada kejadian gempa itu.

“Lebih 1,800 individu yang merasai gempa ini telah membuat laporan berkenaan insiden itu,” tulis GeoNet menerusi Twitter.

MARTY MELVILLE/AFP via Getty Images

Memetik laporan NTD, sehari sebelum kejadian gempa bumi tersebut, satu lagi bencana alam iaitu letusan gunung berapi dikhabarkan berlaku di White Island pada jam 2.11 petang (Ahad) waktu tempatan. Pihak berkuasa juga mendedahkan bahawa seramai 47 individu berada di pulau berkenaan ketika kejadian letusan itu. Segelintir daripada mereka didapati berjalan di tepian kawah gunung berapi beberapa detik sebelum gunung berapi itu meletuskan laharnya.

Kesan daripada kejadian letusan gunung berapi ini telah meragut lima nyawa dan sehingga kini, pasukan polis masih lagi berusaha untuk mengesan seramai lapan individu yang dilaporkan hilang sejak kawasan kepulauan itu dilanda letusan gunung berapi. Sementara itu, 31 mangsa lagi kini terlantar di hospital kerana mengalami kecederaan ringan termasuk melecur yang teruk. Antara individu yang menjadi mangsa kejadian ini merupakan penduduk New Zealand sendiri dan pelancong dari Amerika Syarikat, Australia, China, Great Britain serta Malaysia.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by NBC DFW (@nbcdfw) on

GeoNet bagaimanapun menyangkal dakwaan yang menyatakan kejadian gempa bumi di Gisborne itu mempunyai perkaitan yang rapat dengan letusan gunung berapi di White Island. Pihak berwajib kini sedang bekerjasama dengan ahli-ahli saintis pakar untuk menentukan sama ada misi penyelamatan untuk mencari mangsa yang masih hilang boleh diteruskan atau tidak. Segala maklumat terperinci mengenai butiran mangsa akan didedahkan sebaik sahaja misi selesai.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular