Setelah 27 tahun Malaysia diumumkan bebas dari virus polio, semalam (8 Disember), Kementerian Kesihatan Malaysia dukacita memaklumkan bahawa satu kes yang melibatkan warganegara Malaysia telah dijangkiti virus polio.

Kes yang disahkan berlaku di Tuaran, Sabah itu dimaklumkan berlaku pada seorang bayi lelaki berusia tiga bulan yang dilaporkan mengalami demam diikuti dengan lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.

Gambar Hiasan/VisualHunt

Virus polio yang disahkan dijangkiti oleh bayi lelaki tersebut dikatakan mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis di Filipina, menurut World Health Organization Polio Regional Laboratory di Australia.

Bayi lelaki tersebut kini masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan bantuan pernafasan.

Virus polio jenis Circulating vaccine-derived poliovirus yang dijangkiti oleh bayi lelaki tersebut adalah berasal dari virus polio yang telah dilemahkan dalam vaksin polio yang diberi secara oral.

Virus ini dikumuhkan oleh badan melalui najis. Dalam persekitaran yang tidak terjaga kebersihannya, virus ini boleh berjangkit pada orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan hal ini seterusnya boleh tersebar dalam komuniti tersebut.

Walau bagaimanapun, jangkitan penyakit ini boleh dihindari seandainya pengambilan vaksin poliomyelitis dilakukan.

Sehingga 5 Disember 2019, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di Sabah mendapati bahawa 23 daripada 199 orang (11.6%) yang berumur antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.

Bagaimanapun, setelah menerima nasihat dan penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio, kesemua ibu bapa kanak-kanak tersebut telah bersetuju untuk memberikan vaksin polio kepada anak-anak mereka.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk memastikan semua anak-anak telah mendapat imunisasi polio yang lengkap. Kanak-kanak yang masih belum mendapat imunisasi berkenaan boleh dibawa ke mana-mana fasiliti kesihatan yang berhampiran untuk tindakan segera.

Disamping itu, ibu bapa juga perlu memastikan keadaan persekitaran yang sentiasa bersih serta kebersihan diri yang dijaga rapi.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular