Kasih seorang ayah sanggup berkorban apa sahaja termasuk bertahan dalam cuaca sejuk, dan malangnya ajal datang menjemput dengan sebab-musabab itu.

Baru-baru ini, cuaca di utara Thailand berada pada takat serendah 8°Celsius berikutan peralihan angin sejuk yang bertiup dari China. 

Wilayah di utara seperti Chiang Mai mengalami cuaca sejuk melampau terutama pada waktu malam dan pagi.

Unsplash/Gambar Hiasan

Akibat perubahan cuaca dingin di negara beriklim monsun ini, seramai 3 orang telah dilaporkan meninggal dunia akibat hipotermia dan kesejukan termasuk seorang bapa kepada dua orang anak perempuan.

Media Thailand melaporkan bapa berusia 38 tahun dari daerah Wenklong itu hanya mempunyai 3 helai selimut di dalam rumahnya.

Pada malam kejadian, suhu menjadi sangat sejuk serendah 9°Celsius dan dia telah memberikan kesemua selimut yang ada kepada anak perempuannya kerana berfikir mampu bertahan dalam cuaca sejuk.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Pasakorn hanya menjaga seorang sahaja anak perempuan pada malam itu kerana seorang lagi anak perempuannya bermalam di rumah saudara.

Unsplash/Gambar Hiasan

Bapa penyayang ini cuba menahan kesejukan melampau dengan hanya memakai baju panas berlengan panjang tanpa berselimut. Sesuatu yang tidak membuatnya menjadi hangat dalam angin kesejukan mencapai hampir takat beku pada malam itu.

Anak perempuannya yang sedih berkata, dia melihat bapanya tidur meringkuk dan bergulung menahan kesejukan, lalu anak ini telah datang kepadanya dan meletakkan sehelai selimut.

Malangnya pada keesokan pagi, apabila anak ini menyapa mahu membangkitkan bapanya, dilihat bapanya itu kaku tidak bergerak dan tidak membuka mata buat selama-lamanya.

Anak perempuan lelaki ini telah memanggil saudara-mara terdekat untuk memeriksa keadaannya sebelum mendapati dia tidak lagi bernyawa akibat kesejukan.

Pihak polis dan doktor kemudian mengesahkan mendiang Pasakorn telah meninggal dunia lebih kurang dalam tempoh 8 jam.

Doktor yang memeriksa mayat Pasakorn mengesahkan dia meninggal dunia akibat cuaca sejuk dan mengalami hipotermia. Suhu badannya tidak dapat bertahan dan menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk sehingga membawa kepada kematiannya.

Saudara-mara berkata lelaki ini seorang buruh kasar dan bapa tunggal yang membesarkan sendirian kedua orang anak perempuannya setelah bercerai beberapa tahun lalu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular