ALOR SETAR : Beberapa hari selepas insiden rompakan barangan kemas di dalam sebuah pasaraya yang terletak di Jalan Alor Mengkudu, pihak polis Kedah mengesahkan telah menemui beberapa bukti dan petunjuk baharu semasa siasatan.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata pihaknya telah berjaya merungkai petunjuk-petunjuk yang boleh membantu menyelesaikan kes rompakan kedai emas tersebut. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci berhubung penemuan petunjuk berkenaan.

“Kita sudah ada lead untuk kes berkenaan. Jadi kita akan narrow down penemuan bukti terbabit. Antaranya, kita akan menyiasat maklumat mengatakan kes rompakan kedai emas itu berkemungkinan ada kaitan dengan kes negeri jiran”.

Katanya lagi, pihak polis akan sedaya-upaya berusaha membantu menyelesaikan kes ini di samping berkongsi maklumat dengan pihak polis daerah lain bagi menyiasat kes jenayah itu.

Isnin lalu, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 7.30 malam, seorang lelaki yang bersenjatakan senapang dan juga kapak telah merompak sebuah kedai emas dan melarikan lima dulang emas mengandungi rantai leher, kaki dan juga gelang tangan. Jumlah kerugian yang dihadapi oleh kedai emas berkenaan dikhabarkan bernilai melebihi RM200,000.

Menerusi video berdurasi 2 minit 19 saat di Twitter, seorang lelaki yang memakai topi keledar dan sarung tangan dilihat memasuki kedai emas berkenaan sambil disaksikan oleh pemilik kedai emas dan seorang pekerja wanita berusia 26 tahun. Lelaki tersebut kemudian bertindak mengeluarkan senjatanya sekali gus membuatkan kedua-dua pekerja terbabit lari untuk menyelamatkan diri. Bagaimanapun, lelaki ini tetap meneruskan kegiatan haramnya meskipun loceng penggera telah dibunyikan.

Menerusi rakaman lain yang direkodkan oleh saksi kejadian, dapat dilihat dengan jelas bagaimana keseluruhan insiden rompakan itu dilakukan secara terang-terangan di hadapan orang ramai yang berada di dalam pasaraya tersebut. Penularan video ini sehingga kini meraih lebih 86,000 jumlah tontonan di Twitter.

Berikut merupakan antara reaksi pengguna Twitter berkenaan video rompakan kedai emas tersebut.

“Penjenayah amatur. Penjenayah profesional akan selesaikan kegiatannya dalam masa yang singkat. Harap polis dapat tangkap penjenayah ini”

“Di mana pengawal keselamatan?”

Semoga pihak polis berjaya memberkas penjenayah itu dan menyelesaikan kes ini dalam kadar segera. 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular