Penyanyi Datuk Nassier Wahab, 57, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pada jam 12.45 pagi Khamis.

“Seperti semua sedia maklum, arwah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, Julai lalu. Selepas itu, arwah melakukan rawatan lanjutan seperti radioterapi dan kimoterapi.

“Doktor meminta arwah menjalani rawatan menambah darah semalam (kelmarin) kerana beliau tampak terlalu pucat. Jika diikutkan, tiada apa-apa rawatan pada hari ini (semalam). Ketika sedang berehat tadi (malam tadi), arwah meminta saya mengurut tangan dan belakang badan, tetapi tiba-tiba, dia muntah darah yang banyak.

“Saya dan isteri arwah yang berada di sisinya terus meminta bantuan doktor. Tiba-tiba sahaja semuanya berlaku. Pada jam 12.45 tengah malam, doktor mengesahkan abang Nassier sudah tiada,” katanya kepada BH Online.

Jenazah Allahyarham Datuk Nassier Wahab, 57, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah, di Klang, 5 Disember.

Terdahulu, jenazah penyanyi popular 1980-an itu dimandi dan disembahyangkan di Masjid Sirajuddin Al-Anuar, Kampung Batu Belah, kira-kira 10.30 pagi.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah.

Lebih 300 ahli keluarga, saudara-mara, rakan artis dan kenalan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir.

Antara yang hadir Datuk Seri Shah Rezza, Datuk DJ Dave, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk M Nasir, Datuk Nash dan ramai lagi.

Terdahulu, berita kematian tersebut disebarkan oleh penyanyi, Zur Eda menerusi kiriman WhatsApp kepada rakan artis.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Dukacita dimaklumkan Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12.45 pagi.

“Mohon sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan kita doakan semoga roh arwah akan ditempatkan bersama roh solehin. Al-Fatihah,” tulisnya.

Jun lalu, Nassier menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri.

Beliau mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.

Pembantu peribadinya, Aliff Salim mewakili Nassier berkata, Nassier hanya akan mengambil pil penahan sakit setiap kali diserang penyakit itu.

“Apabila makan ubat, sakit itu akan hilang. Kadang-kadang ambil masa dua hingga tiga hari baru hilang sakitnya.

“Apabila terlalu berterusan, doktor memberitahu kaedah ini tidak bagus kerana boleh menjejaskan kesihatannya,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Aliff menjelaskan, doktor menasihatkan Nassier menjalani pembedahan tetapi dia kerap menangguhkannya.

“Selepas kali ketiga berjumpa doktor, barulah dia setuju untuk buat pembedahan pada 1 Jun lalu,” katanya.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular