KUALA LUMPUR – Kes demam denggi di negara ini meningkatkan 70% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2018 iaitu sebanyak 118,416 kes dilaporkan bermula daripada bulan Januari hingga 27 November lalu.

Ia didedahkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye yang menambah bahawa sebanyak 164 kematian dicatatkan pada tahun ini berbanding 118 kematian pada tahun lalu, menandakan peningkatan sebanyak 39%.

Gambar Hiasan/PhotoAC

Beliau mendedahkan laporan itu ketika ditanya oleh Alice Lau Kiong Yieng yang mahu mengetahui tentang status terkini demam denggi di Malaysia serta jumlah kematian yang berpunca daripada demam berkenaan.

“Beberapa tindakan bersepadu telah dilaksanakan melalui pasukan petugas khas denggi yang terdiri daripada pelbagai kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Antaranya kempen gotong-royong dan aktiviti pembersihan persekitaran yang dijalankan sebanyak dua kali setahun pada Mac dan September 2019”, jelasnya.

Kementerian turut melakukan inisiatif inovasi kawalan denggi melalui pelepasan telur nyamuk Aedes Wolbachia bagi menggantikan populasi nyamuk aedes liar yang membawa virus denggi dalam usaha untuk mengawal penyakit berkenaan.

Menurut beliau, kehadiran bakteria Wolbachia akan merencatkan perkembangan virus denggi dalam tubuh nyamuk tersebut sekaligus akan mengurangkan risiko jangkitan virus denggi kepada manusia lain.

Fasa pertama operasi ini telah dijalankan di 11 buah lokaliti di Petaling dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Operasi ini menurutnya dibuat berikutan dengan keputusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang dapat mengurangkan 50-70% kes denggi di lokaliti kajian.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular