KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 2,030 orang daripada 552 keluarga yang dipindahkan ke 38 pusat pemindahan sementara (PPS).

Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Besut paling teruk terjejas banjir kali ini apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke 20 PPS di daerah itu bertambah kepada 1,091 orang daripada 273 keluarga sehingga jam 12 malam tadi (28 November).

Memetik Berita Harian di Setiu, jumlah mangsa meningkat kepada 553 mangsa daripada 189 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS, manakala di Dungun jumlah mangsa bertambah kepada 396 orang daripada 100 keluarga di empat PPS.

Dan setakat ini, seramai 53 mangsa daripada 14 keluarga pula dipindahkan ke empat PPS di Hulu Terengganu.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, keadaan banjir yang melanda sejak semalam (28 November) melibatkan fasa ketiga bencana banjir dan penduduk di kawasan yang berisiko dinaiki air diminta terus berjaga-jaga.

“Kita nasihatkan semua penduduk di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai supaya lebih berjaga-jaga dan berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pihak keselamatan akan sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan sentiasa menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa banjir di negeri ini,” katanya yang dipetik Sinar harian.

Sementara itu, laporan di laman web www.publicinfobanjir.water.gov.my dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan Sungai Besut di stesen Kampung La, Besut meningkat paling tinggi iaitu tiga meter (m) kepada 24.8m melebihi paras bahaya 21.8m setakat jam 10.30 malam.

Sungai Dungun di stesen Kuala Jengai dan Kampung Raja, Dungun pula meningkat antara satu hingga 1.37 meter masing-masing kepada 22m melepasi paras bahaya 21m dan 38.87m melepasi 37.5m.

Di Setiu, Sungai Setiu di Kampung Besut dicatatkan pada bacaan 17.55m berbanding paras bahaya 17.5m , manakala stesen Jambatan Permaisuri pada bacaan 8.93m melepasi 8.8m; Sungai Nerus di stesen Kampung Langkap pada paras 21.97m berbanding 21m paras bahaya.

Beberapa sungai di Hulu Terengganu iaitu Sungai Berang di stesen Kampung Menerong naik kepada 24.89m berbanding paras bahaya 24.5m Sungai Telemong di stesen Kuala Ping pada bacaan 19.84m berbanding 19.7m paras bahaya.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular