Dalam dunia serba canggih kini, segala urusan boleh dipermudahkan secara atas talian sahaja. Jualan barang secara online merupakan satu platform yang digunakan oleh setiap lapisan umur dalam masyarakat.

Namun, seiringan dengan teknologi yang semakin canggih, kes-kes jenayah siber turut mencatatkan peningkatan!

Gambar Hiasan/Unsplash

Seperti kisah yang dikongsikan oleh @iffgone di akaun Twitternya mengenai insiden penipuan jualan barangan yang melibatkan kerugian mencecah ribuan ringgit! Perkongsian yang ditulis pada 26 November lalu sehingga kini mendapat 7,441 retweet dan 5,819 tanda suka.

@iffgone/Twitter

“Aku nak cerita, kawan aku baru lepas kena tipu beli iPhone XS Max RM2500. Taktik penipu ini hebat juga lah, jadi aku nak kongsi cerita ini supaya orang lain tak terkena dan berhati-hati dalam urusan jual beli”.

“Aku namakan kawan aku ini Alu memandangkan dia pandai Alucard dan si penipu ini Wira memandangkan dia bawa kereta Wira”.

Menurut @iffgone, rakannya Alu telah melayari laman Carousell untuk mencari sebuah telefon pintar terpakai jenama iPhone XS Max.

Setelah puas mencari, akhirnya Alu berjaya menemui seorang penjual yang ingin menjual telefon pada harga yang boleh dikatakan murah. Alu kemudiannya terus menetapkan tarikh bersama si Wira untuk bertemu dan menjalankan proses jual beli secara COD atau cash on delivery.

Gambar Hiasan/Unsplash

“Mereka tetapkan masa dan tempat untuk jumpa memandangkan Wira pun dari Johor Bahru sama macam Alu. Jadi, urusan secara COD menjadi pilihan mereka berdua”.

Ketika hari kejadian, kedua-dua Alu dan Wira telah memutuskan untuk berjumpa di sebuah stesen minyak yang terletak di sekitar Skudai pada jam 10 malam.

Setibanya di sana, Alu mendapati Wira telah pun menunggunya di sana. Maka, bermulalah proses pemeriksaan telefon berkenaan untuk melihat sama ada ianya masih dalam keadaan baik atau tidak.

“Alu minta untuk tengok telefon. Wira serahkan satu iPhone XS Max original yang belum diformat kepada Alu untuk diperiksa”.

Setelah sekitar 20 minit memeriksa keadaan dan fungsi telefon, Alu yang nampaknya berpuas hati terus menyatakan persetujuannya untuk membeli telefon berkenaan secara tunai. Setelah itu, Wira kemudian memaklumkan kepada Alu untuk format telefon tersebut terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada pemilik baharu iaitu Alu.

Gambar Hiasan/Unsplash

Wira telah meminta diri untuk masuk ke dalam kereta bagi mengambil kotak, aksesori dan casing telefon serta memformat telefon berkenaan. Alu yang tidak mengesyaki apa-apa sabar menanti Wira selama tiga ke empat minit sebelum Wira keluar sambil membawa kotak asal dan telefon yang hendak dijual.

Tanpa berfikir panjang, Alu terus menyerahkan sejumlah wang bernilai RM2500 kepada Wira. Kedua-duanya bersalaman dan terus pulang menuju ke destinasi masing-masing. Setibanya di rumah, Alu yang teruja untuk menggunakan telefon baharunya itu terus membuka kotak untuk setup telefonnya.

“Dalam fikiran Alu, selepas format mesti kena setup balik. Alu pun cuba ikut langkah demi langkah telefon tersebut sehingga tiba-tiba keluar satu perkataan yang membuatkan Alu terduduk. Perkataan tersebut adalah app is not working“.

Rupa-rupanya, iPhone XS Max yang berada di tangan Alu pada ketika itu merupakan sebuah telefon klon. Hal ini bermakna Wira si penipu telah menukar telefon sebenar dengan telefon klon sewaktu dia ‘menghilang’ selama 4 minit itu.

“Jadi, berhati-hatilah dalam urusan jual beli walaupun cash on delivery dan secara berdepan. Cubalah berjaga-jaga dan periksa semua barang yang diterima sebelum dan selepas pembayaran. Hati-hati dalam semua urusan anda, jangan terlalu teruja sampai lalai dan leka,” nasihat @iffgone.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular