Urby adalah anjing detektif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dia telah banyak berjasa kepada negara.

Anjing pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini menerima pingat atas kejayaan bersama pengendali, Koperal Umbat Anak Selan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA selepas menyelesaikan satu kes jenayah di Banting, Selangor pada Oktober lalu.

Menerusi perkongsian Facebook PDRM, kepintaran Urby yang berusia 12 tahun daripada baka German Shepherd itu terserlah apabila berjaya menemukan mayat warga Bangladesh di kawasan semak selepas mangsa dilaporkan hilang beberapa hari sebelum itu.

Penyampaian surat penghargaan dan pingat kepada Koperal Umbat dan Urby itu berlangsung dalam Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Pemegang Unit Anjing Pengesan (K9) Siri 1/2019 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 22 November.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ Bukit Aman, Datuk Salehhudin Abd Rahman yang mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menzahirkan setinggi tahniah kepada peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan.

“Kejayaan peserta menamatkan kursus membuktikan tiada perkara mustahil untuk dikecapi sekiranya ia dilakukan dengan kesungguhan dan kesabaran tinggi.”

“K9 memainkan peranan penting dalam tugasan serta operasi PDRM dengan menjadi penyumbang dalam penyelesaian kes jenayah berprofil tinggi sejak ia ditubuhkan pada 1968,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, polis berjaya menemui mayat mangsa warga Bangladesh berusia 35 tahun di tepi semak iaitu kira-kira 100 meter dari kolam di Jalan Tali Air, Dusun Durian di Kuala Langat dengan bantuan K9.

PDRM akhirnya berjaya menyelesaikan kes pembunuhan tersebut bulan lalu selepas penemuan mayat dengan bantuan anjing pintar, Urby.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular