HONG KONG – Seramai 4 orang penceroboh bertopeng dipercayai memulakan kebakaran di kilang percetakan The Epoch Times edisi Hong Kong pada 19 November lalu dan ia merupakan serangan kali keempat yang berlaku di kilang yang sama sejak pembukaannya lebih sedekad lalu.

The Epoch Times

Serangan itu difahamkan merupakan satu usaha yang dijalankan oleh Parti Komunis China (PKC) untuk ‘mendiamkan’ The Epoch Times. Menurut Cheryl Ng selaku jurucakap The Epoch Times edisi Hong Kong, insiden ini mempunyai ciri-ciri taktik PKC bertujuan menakut-nakutkan pihaknya daripada terus menyiarkan topik sensitif terhadap rejim itu.

The Epoch Times merupakan salah satu syarikat akhbar bebas di Hong Kong dan sangat dikenali kerana kerap melaporkan isu politik dalaman PKC , selain penindasan yang dilakukan regim itu di dalam dan di luar negara. Malah, syarikat tersebut juga menyediakan liputan secara meluas tentang pergerakan pro-demokrasi.

Bertindak balas dengan insiden berkenaan, senator Amerika Syarikat, Josh Hawley menyifatkan kejadian itu sebagai ‘sangat mengganggu’ dan menurutnya, sebarang serangan terhadap kebebasan akhbar adalah serangan terhadap kebebasan yang dijanjikan kepada rakyat Hong Kong. “Ia adalah satu serangan kepada fungsi asas demokrasi”, jelasnya.

Pengurus syarikat akhbar berkenaan berkata bahawa insiden yang berlaku kira-kira jam 3:40 pagi itu berlaku di kilang yang terletak di kawasan Tsuen Wan, di mana para kaki tangan pada ketika itu sedang bersedia untuk menghantar laporan yang sudah dicetak.

Pada ketika kaki tangan berkenaan membuka pintu kilang terbabit, secara tiba-tiba 4 orang lelaki berpakaian gelap dan lengkap memakai topeng berjalan masuk ke premis tersebut dan memberi amaran agar semua tidak bergerak.

Rakaman pengawasan daripada premis berkenaan menunjukkan bahawa terdapat 2 orang lelaki memegang cota seperti yang selalu digunakan oleh pihak polis sementara seorang yang lain membawa akhbar manakala seorang lagi membawa 2 bekas yang dipenuhi dengan cecair mudah terbakar, yang kemudiannya disimbah pada lantai, mesin pencetak dan akhbar.

Seorang daripada mereka kemudiannya menyalakan api sebelum keempat-empat mereka melarikan diri. Insiden berkenaan difahamkan berlaku selama 2 minit. Kebakaran berkenaan mengaktifkan sistem pancuran air ketika kebakaran.

Pekerja kemudian menghubungi pihak polis dan jabatan bomba yang tiba tidak lama kemudian. Siasatan mendapati bahawa sebanyak 2 mesin pencetak, 4 gelung kertas pencetakan dan beberapa timbunan akhbar di dalam kilang itu rosak akibat kebakaran. Buat masa ini, kilang tersebut masih lagi mengira jumlah kerugian.

Ng mengutuk serangan itu dan menyebutnya sebagai jenayah terhadap kebebasan akhbar di Hong Kong. Dia berkata ada sebab untuknya mempercayai PKC yang bertanggungjawab ke atas kejadian itu. “Hakikat bahawa 2 daripada samseng yang memakai pakaian hitam (menyerupai pakaian penunjuk perasaan) itu juga dilihat sebagai taktik CCP – cuba menggunakan orang lain”, katanya.

Tambah Ng lagi, premis berkenaan sudah bertahun-tahun menjadi sasaran ekoran laporan ketelusan laporan mengenai isu berkaitan China, termasuklah protes yang sedang berlaku di Hong Kong, di mana ia telah berkembang menjadi gerakan massa terhadap pencerobohan autonomi bandar oleh rejim komunis China.

Demonstrasi besar-besaran itu bermula pada Jun lalu bertitik tolak daripada suatu perjanjian ekstradisi yang akan membenarkan rezim China memindahkan individu untuk dibicarakan di mahkamah yang dikendalikan PKC di tanah besar. Sejak itu, pergerakan pro-demokrasi telah berkembang untuk menuntut hak pemilihan sejagat dan akauntabiliti polis.

Guo Jun, pengarah edisi Hong Kong, berkata bahawa PKC mungkin cuba untuk ‘memerangkap’ penunjuk perasaan dengan meletakkan kesalahan pada penunjuk perasan untuk serangan itu. Ini kerana penunjuk perasaan telah menuduh rejim bekerja dengan gangster tempatan untuk menyerang dan mengugut penunjuk perasaan dan penganjur.

Guo berkata mereka kembali membaiki segera kilang percetakan dan menjelaskan bahawa penerbitan kertas hari berikutnya tidak akan terjejas. Bekas anggota Majlis Perundangan dan pengerusi Parti Sivik Hong Kong, Alan Leong pula menyeru para samseng yang melakukan kerja kotor sebegini untuk segera menghentikan apa yang mereka lakukan, atau mereka berisiko untuk menjadi musuh awam Hong Kong.

“Hong Kong bukanlah satu negara yang tidak bertamadun, ia merupakan tempat di mana individu meyakinkan orang lain atas alasan yang kukuh”, jelasnya pada The Epoch Times edisi Hong Kong. Beliau turut memberi kredit kepada The Epoch Times atas liputan menyeluruh terhadap protes yang berlangsung di Hong Kong, selain akan terus mempertahankan akhbar di tengah-tengah ketegangan yang semakin mencengkam negara berkenaan.

The Epoch Times sebelum ini telah melaporkan secara terperinci mengenai protes di Hong Kong, dengan menyediakan sebanyak mungkin info terhadap apa sebenarnya yang berlaku pada penduduk Hong Kong dan penduduk di tanah besar China sementara aktiviti akhbar yang lain ‘terhenti’ akibat tekanan berterusan daripada PKC.

Pada awal tahun ini, akhbar itu tiba-tiba ditarik balik daripada rak-rak kedai 7-Eleven di seluruh bandar, walaupun kontrak pengedaran masih lagi berlangsung. Pada masa itu, pengarah Reporters Without Borders Asia Timur, Cédric Alviani, berkata beliau tidak dapat melihat sebarang sebab melainkan tekanan daripada pihak berkuasa China.

Pada bulan September 2006, seorang juruteknik komputer untuk edisi Hong Kong diculik oleh pegawai keselamatan kebangsaan semasa melawat bandar Zhuhai di wilayah Guangdong, Selatan China. Mereka memaksa dia menandatangani dokumen yang menyatakan dia akan bertindak sebagai ejen khas untuk PKC sebagai syarat pembebasannya – dengan misi untuk menyalahgunakan Hong Kong Epoch Times.

Pada bulan Februari tahun yang sama, beberapa samseng didapati telah memasuki kilang yang sama dan cuba menghancurkan mesin dan pada Oktober 2012 pula, pintu premis percetakan pula telah dirosakkan. Dua bulan kemudian, 7 orang lelaki pula didapati membawa pelbagai kotak peralatan muncul dan cuba memecahkan pintu.

Walau bagaimanapun, mereka sempat melarikan diri sebelum sempat polis bertindak. Sungguhpun begitu, menurut laporan, tiada sebarang penangkapan telah dibuat oleh pihak polis berikutan insiden ini.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular