HONG KONG – Pasukan peguam mewakili seorang wanita muda yang melaporkan dakwaan telah diserang secara seksual sehingga hamil oleh beberapa orang pegawai polis telah mencetuskan keraguan bahawa kini pasukan keselamatan itu menjalankan tugas secara tidak profesional kerana telah melanggar ‘hak privasi dan maruah’ seorang wanita. 

Polis Hong Kong mengesahkan bahawa seorang wanita telah memfailkan aduan pada 22 Oktober dengan dakwaan beliau telah diserang secara seksual di Balai Polis Tsuen Wan. 

Satu laporan mendedahkan bahawa pengadu sedang berjalan di hadapan balai polis tersebut pada pertengahan bulan September, dan walaupun beliau tidak memakai baju hitam dan tidak terlibat dalam gerakan memprotes pada hari itu tetapi telah ditahan. 

Anthony Kwan/Getty Images

Wanita ini mendakwa telah dibawa ke dalam Balai Polis Tsuen Wan dan diserang secara seksual oleh empat orang lelaki yang memakai topeng.

Dalam satu kenyataan, pihak polis berkata dakwaan tersebut tidak konsisten dengan siasatan awal tetapi pihak mereka akan meneruskan siasatan secara menyeluruh.

Pihak peguam dari Vidler & Co. Solicitors yang mewakili wanita dilaporkan berusia antara 16 hingga 18 tahun itu, mengesahkan beliau yang dikenali sebagai ‘Miss X’ telah memfailkan laporan polis selepas dakwaan serangan seksual berkumpulan dan menyerahkan aduan terperinci mengenai insiden terbabit kepada penyiasat yang kemudian diserahkan untuk siasatan lanjut di Unit Siasatan Jenayah Wilayah Selatan New Territories.

Wanita ini didapati mengalami kemurungan dan hamil pada pertengahan bulan Oktober. Dengan ditemani ibunya, beliau terpaksa melakukan pengguguran dan membenarkan doktor forensik mengambil sampel DNA daripada janin yang telah digugurkan bagi membantu mengumpul bukti serta mengenal pasti sekurang-kurangnya seorang pelaku dalam kalangan penyerangnya.

Tetapi menurut peguam terbabit, pihak polis telah mendapatkan waran geledah untuk melihat semua rekod perubatan wanita ini terutama rekod pada hari kejadian dikatakan berlaku dari klinik swasta doktor peribadinya tanpa keizinan dan pengetahuan pesakit.

Sepasukan polis juga telah meminta rakaman CCTV dari klinik swasta tersebut diserahkan kepada mereka.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh firma guaman Vidler & Co. menyebut, “Dengan pencarian untuk mendapatkan rekod perubatan peribadi daripada pengadu kes rogol tanpa pengetahuan dan keizinannya adalah satu pelanggaran dan pencerobohan hak privasi. Tindakan tersebut adalah satu penyalahgunaan kuasa pihak polis.”

Anthony Kwan/Getty Images

Peguam tersebut menambah Miss X dengan segera memfailkan di mahkamah majistret untuk mencabar waran geledah yang dikeluarkan dan majistret telah mengeluarkan perintah anonimiti kepadanya dan pelanggaran perintah ini bermakna satu tindakan menghina mahkamah.

Vidler & Co. Solicitor juga mengkritik cara pihak polis menguruskan kes ini dengan membuat tindakan secara sengaja mendedahkan butiran peribadi Miss X kepada media menerusi Biro Perhubungan Awam Polis dan satu sumber maklumat polis tidak bernama, serta memberi komen awam yang bertentangan berkenaan kes tersebut. 

Firma guaman ini turut menyatakan pihak polis dengan niat disengajakan telah membocorkan maklumat peribadi pengadu dengan membuat kenyataan bagi menjatuhkan reputasi anak guamnya yang membuat dakwaan tersebut kepada khalayak awam, dengan harapan ia dapat melemahkan apa sahaja prospek kejayaan dalam kes pendakwaan kelak.

Kenyataan peguamnya menyebut, “Pengadu tidak membuat sebarang komen umum tentang kes ini dan tidak mahu mendapatkan apa-apa publisiti dalam apa cara sekalipun. Malangnya, pasukan penyiasat kes Miss X telah mengeluarkan kenyataan secara sistematik bagi tujuan menjatuhkan reputasi dan melemahkan pertuduhan supaya menimbulkan keraguan.”

“Miss X beranggapan sebarang percubaan pihak polis untuk menjatuhkan maruah mangsa rogol dengan komen yang bertentangan dengan keterangan yang diberikan semasa penyiasatan sedang berjalan adalah suatu tindakan penghinaan dan menyinggung perasaan. Sebarang percubaan patut dikecam dengan sekeras-kerasnnya,” jelas peguam tersebut.

Tuduhan tersebut telah berlegar dalam laman media sosial pada awal November. Laman Facebook ‘HA Secret’ telah berkongsi beberapa posting berkaitan kes ini dengan menyatakan terdapat lebih daripada seorang pegawai dari hospital tempat wanita ini mendapatkan rawatan telah mengesahkan insiden terbabit berlaku.

Chris McGrath/Getty Images

Apple Daily melaporkan berdasarkan maklumat daripada 3 sumber yang boleh dipercayai dengan mengesahkan wanita tersebut telah melakukan pengguguran yang dibenarkan di Hospital Queen Elizabeth pada 7 November. Saksi menyatakan terdapat pegawai polis yang menunggu semasa pengguguran itu dilakukan.

Kenyataan peguam tersebut turut menyatakan Miss X meragui pihak polis dapat mengendalikan kes rogol tersebut secara adil berikutan tindakan pasukan penyiasat enggan memberikan apa-apa butiran dan kemajuan kes kepada pihaknya.

“Tidak mengejutkan apabila Miss X menyatakan pandangan bahawa polis Hong Kong tidak lagi boleh dipercayai  untuk menyiasat dakwaan kes tersebut secara adil atau mana-mana aduan jenayah yang membabitkan pegawai polis. Miss X juga meminta pihak polis supaya berhenti mendedahkan maklumat dan komen mengenainya yang dianggap tidak profesional ketika kesnya di dalam penyiasatan. Beliau juga meminta supaya hak peribadinya dihormati,” tambah kenyataan itu.

Pada 11 November, Pertubuhan Berkaitan Keganasan Seksual Terhadap Wanita Hong Kong mengeluarkan kenyataan pihak mereka berasa terkejut dan mengambil berat dengan tuduhan yang dilaporkan. Menurut kenyataan mereka, mangsa keganasan seksual tersebut seperti mana-mana mangsa lain berhak memperolehi hak supaya aduan dan pertuduhan yang dibuat akan disiasat secara adil, profesional dan secara sulit oleh pihak polis, dengan tidak mengira siapa sahaja pelaku jenayah yang terbabit. Dalam kes ini, perkara itu tidak berlaku.”

Song Bilong/Epoch Times

Kredibiliti polis Hong Hong kini tidak lagi dipercayai dengan sepenuhnya selepas wilayah autonomi tersebut terus bergolak dengan gerakan anti-kerajaan Hong Kong selepas cadangan undang-undang ekstradisi ke Tanah Besar China ditarik balik. Gerakan tersebut kini menyeru supaya suruhanjaya siasatan bebas ditubuhkan bagi menyiasat salah laku polis dan penyalahgunaan kuasa ketika menangani krisis yang bermula sejak bulan Jun.

Pada bulan Ogos, beberapa tahanan wanita mendakwa beberapa pegawai polis wanita telah menjalankan geledahan tubuh badan dengan secara tidak sepatutnya termasuk tanpa menggunakan sarung tangan dan menggunakan pen untuk memaksa mereka membuka kaki. Pada bulan Oktober yang lalu, seorang pelajar dari Universiti China Hong Kong bernama Sonia Ng mendakwa telah diserang secara seksual oleh polis ketika beliau ditahan di Balai Polis Kwai Chung.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular