Individu yang cenderung mengalami tekanan dikenal pasti sebagai insan yang mengalami ketegangan fizikal dan psikologi dalam tempoh masa yang panjang.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Fariza Md Sham, apabila individu mengalami pergolakan jiwa dan kegelisahan yang teruk, gejala stres boleh berlaku.

Apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan berkata satu daripada tiga rakyat di negara ini sememangnya mengalami tekanan jiwa, keresahan dan kemurungan itu termasuklah suri rumah.

unsplash

Bagaimana tekanan jiwa boleh berlaku dalam kalangan suri rumah? Apakah punca yang menyebabkan mereka mengalami tekanan jiwa? Pasti pelbagai persoalan muncul dalam fikiran masing-masing dan sudah tentu setiap orang ada pendapat mereka sendiri mengenai tekanan jiwa di kalangan suri rumah. 

Syahirah Omar menerusi penulisannya di Facebook telah berkongsi punca dan situasi yang menyebabkan suri rumah mengalami tekanan jiwa dan bagaimana cara untuk menanganinya.

1. Suri rumah sering dilabel sebagai ‘goyang kaki’.

Hal ini kerana suri rumah sentiasa berada di rumah dan dikatakan kurang penat berbanding dengan wanita yang bekerja di luar rumah. Apabila ada orang sekeliling seperti jiran tetangga yang memandang sinis akan seorang wanita yang bergelar suri rumah, wanita itu secara tidak langsung akan berasa ‘down‘ dan ‘loser‘. Mereka merasakan diri mereka tidak bermanfaat dan tidak berfungsi. 

2. Suami tidak memahami keadaan isteri yang sebenarnya mengalami kepenatan mental dan fizikal.

Wanita memang sifatnya suka bercerita dan pasti suami adalah pilihan terbaik yang mereka rasa mereka boleh kongsikan tentang apa yang berlaku seharian di rumah termasuklah tentang anak mereka. Namun ada suami yang berasa isteri tersebut tidak bersyukur kerana sering merungut. 

unsplash

3. Tiada sumber pendapatan

Suri rumah tidak mempunyai sumber pendapatan biarpun dia mempunyai diploma atau ijazah yang akhirnya terpaksa disimpan dan dijadikan kenangan.

Mereka berasa rendah diri apabila kawan-kawan yang lain mempunyai kerjaya yang hebat sedangkan dia hanya mengharapkan wang yang diberikan oleh suami setiap bulan. Jika diberikan wang belanja pun, suri rumah biasanya akan mendahulukan keperluan anak-anak berbanding dirinya.

4. Mentua membezakan menantu daripada segi kerjaya

Tidak dinafikan ada di antara menantu perempuan yang bersaing secara tidak sihat untuk memenangi hati mentua. Bukan itu sahaja, ada juga mentua yang melebih-lebihkan menantu yang berduit berbanding menantu yang hanyalah suri rumah.

5. Berasa tidak dihargai 

Jauh di sudut hati seorang suri rumah, mereka inginkan masa untuk bersendirian. Pergi bercuti, pergi ke masjid untuk menuntut ilmu agama namun mereka tidak dapat melakukannya kerana ‘terikat’ dengan tugasan di rumah dan anak-anak.

unsplash

6. Keseorangan

Bagi wanita yang bekerja di luar, mereka dapat bertemu dengan rakan-rakan sepejabat atau keluar berhibur bersama rakan-rakan lain manakala suri rumah pula kebanyakan masanya hanya menguruskan rumah dan anak-anak. Benar mereka juga mempunyai ramai kawan di media sosial tetapi semuanya itu hanya di alam maya. Mereka tiada tempat untuk mengadu atau berbual, semuanya dipendamkan di dalam hati. 

Tidak dinafikan memang ramai suri rumah yang mengalami stres sehingga menyebabkan tekanan jiwa. Mereka tidak dapat mengawal emosi disebabkan bebanan tugasan di rumah lantaran sikap orang sekeliling yang tidak mempedulikan emosi mereka.

Oleh itu, marilah kita sama-sama cuba untuk belajar dan memahami perasaan suri rumah. Bagi suami, dekatilah isteri anda dan cuba selami perasaan mereka. Dengarkan luahan hati mereka, bebelan mereka dan turut serta bergelak tawa bersama mereka walaupun sebenarnya anda mungkin tidak faham akan pokok pangkal cerita mereka.

Ringankan tulang untuk membantu isteri di rumah terutama dalam hal penjagaan anak-anak. Kurangkanlah penggunaan telefon di rumah dan banyakkanlah masa untuk bersama keluarga.

unsplash

Bagi rakan-rakan yang bekerja di luar, raikanlah rakan anda yang bergelar suri rumah. Tanyakan khabar mereka dan jangan sisihkan mereka hanya kerana mereka tidak mempunyai pendapatan dan mungkin tidak dapat berbelanja besar seperti mana anda. Ingat, mereka juga bekerja seperti anda malah kerja mereka tidak pernah habis dan tiada cuti.

Bagi jiran tetangga, usahlah memandang sinis akan golongan suri rumah. Siapalah mereka dengan penuh rasa hormat dan katakan kepada mereka bahawa suri rumah itu hebat kerana berkorban untuk menjaga sendiri keluarga mereka.

unsplash

Buat mentua di luar sana, biarpun menantu itu hanyalah suri rumah tetapi mereka wajar dilayan dengan baik. Mereka mungkin tidak dapat memberikan wang perbelanjaan bulanan atau duit ‘jajan’ tetapi merekalah yang sebenarnya menjadi tulang belakang mentua.

Merekalah yang sering membantu di dapur malah mereka juga yang lebih arif tentang selera makan, ‘do‘ and ‘dont‘ mentua. Sayangilah menantu anda yang bergelar suri rumah itu.

unsplash

Akhir sekali, untuk semua wanita yang bergelar suri rumah, anda HEBAT! Terima kasih atas setiap pengorbanan yang telah anda lakukan untuk keluarga anda. Percayalah, anda juga inspirasi kepada orang lain. 

Sumber : FACEBOOK

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular