PETALING JAYA – Pihak polis bertindak menahan enam kanak-kanak bersama penjaga masing-masing ekoran tindakan bermain basikal lajak di Ampang menerusi satu operasi yang dijalankan pada malam Ahad lalu.

Kesemua budak yang terlibat, berumur sekitar 11 hingga 16 tahun difahamkan telah ditahan menerusi satu operasi basikal lajak oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Taman Kosas pada sekitar jam 8:50 malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Noor Azmi Yusoff, kesemua budak terbabit dibawa bersama basikal mereka ke Balai Trafik Pandan Indah.

Manakala penjaga mereka turut ditahan selepas hadir ke balai bagi menjamin anak mereka. “Tangkapan telah dilakukan ke atas enam orang penjaga kepada kanak-kanak tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001”.

Jika didapati bersalah membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan, kesemua penjaga berhadapan dengan tindakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Kesemua tangkapan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangan diambil,” jelas Noor Azmi dalam satu kenyataan media.

Manakala untuk kesalahan membabitkan basikal lajak, ia akan disiasat di bawah Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kanak-kanak yang terlibat turut dikenakan saman manakala basikal lajak yang ditunggangi mereka dirampas.

Sementara itu, Pengarah Jabaran Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan kepada mana-mana penjaga kepada kanak-kanak berbasikal lajak.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular