CHAIYAPHUM – Seorang remaja perempuan didapati maut setelah terkena renjatan elektrik dipercayai berpunca daripada penggunaan kabel pengecas telefon bimbit yang sudah terkoyak dan menyentuhi kaki katil besinya.

Mangsa, Nong Ying yang berusia 17 tahun itu didakwa sedang bermain dengan peranti pintarnya itu semasa ia dicas menggunakan kabel yang telah dibalut dengan pita pelekat ekoran pembalutnya sudah terkoyak.

Kejadian itu disedari ketika ibu mangsa, Boonpeng Tuponchai yang berusia 47 tahun, menemui mangsa terbaring di atas katilnya sebaik sahaja dia pulang ke rumah mereka yang terletak di Chaiyaphum.

“Saya fikir anak saya sedang tidur sebelum cuba mengejutnya. Namun, apabila menyentuh sahaja tubuhnya, saya juga mengalami sedikit kejutan elektrik”, jelasnya.

Dia kemudian dengan pantas cuba menutup suis elektrik yang digunakan itu akan tetapi mangsa tidak dapat diselamatkan lagi.

Hasil pemeriksaan, mangsa didapati mengalami kesan lecur pada tangan kirinya, yang dipercayai digunakan untuk memegang telefon pintarnya itu.

Menurut pegawai penyiasat, Kapten Khanti Peansoongnern, punca renjatan tersebut berlaku adalah disebabkan oleh kabel lama yang telah terkoyak dan sudah dibalut beberapa kali.

“Saya beranggapan bahawa kabel lama itu sudah pun bocor dan menyebabkan renjatan apabila bersentuhan dengan tanah ataupun besi”, katanya.

Menurutnya, gadis terbabit secara tidak sengaja menyentuh katilnya yang diperbuat daripada besi dan terkena kejutan elektrik. “Namun kita perlu mengumpul bukti dan menjalankan bedah siasat bagi mengesahkan kematiannya”, akhiri Khanti.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular