LONDON – Polis British mempercayai kesemua 39 mangsa pemerdagangan manusia yang maut dalam lori kontena di Essex pada minggu lalu adalah warga Vietnam.

Penolong Ketua Polis Essex, Tim Smith dalam kenyataannya menerusi Twitter, “Buat masa ini, kami mempercayai mangsa adalah warga Vietnam dan telah menghubungi kerajaan Vietnam. Kami mempunyai hubungan langsung dengan beberapa ahli keluarga mangsa yang berada di Vietnam dan United Kingdom, dan mempercayai telah mengenal pasti beberapa waris serta keluarga mangsa.”

YouTube

Pada awal penemuan mayat mangsa dalam lori kontena yang didinginkan pada 23 Oktober, polis British melaporkan identiti kesemua mangsa sebagai warga China, namun beberapa keluarga dari Vietnam telah tampil mengatakan tidak menerima berita daripada ahli keluarga tersayang sebaik sahaja mereka menghantar mesej telah memasuki sempadan United Kingdom.

Jumaat lalu, pihak berkuasa Vietnam mengesahkan mereka menahan dua suspek yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes pemerdagangan manusia dari Asia ke Eropah bagi membantu siasatan.

Menurut satu kenyataan laman sesawang polis Vietnam, “Kebanyakan mangsa dipercayai berasal dari wilayah Ha Tinh tengah, tempat di mana dua suspek yang mempunyai kaitan dengan ‘kes 39 mayat ditemui dalam lori kontena di United Kingdom’ telah ditahan. Suspek telah didakwa menganjur dan menjadi broker bagi orang lain berhijrah dan tinggal di luar negara secara haram.”

YouTube

Lori kontena yang didinginkan menempatkan 39 mangsa termasuk 8 wanita dilaporkan bertolak dari pelabuhan Zeebrugge di Belgium sehingga penemuan kesemua mayat dalam lori tersebut yang diletakkan di sebuah kawasan perindustrian di Essex, timur London.

Polis British telah menahan 4 orang setakat ini dan kini sedang menjejaki dua beradik dari Ireland Utara, Ronan dan Christopher Hughes yang menjalankan perniagaan penghantaran dan pengangkutan darat disyaki mempunyai kaitan dengan penyeludupan manusia tersebut supaya tampil membantu siasatan.

Pemandu lori Maurice Robinson, 25 tahun dari Ireland Utara telah didakwa di mahkamah dengan 39 pertuduhan membunuh. Tertuduh turut didakwa dengan tuduhan konspirasi pemerdagangan manusia, konspirasi membantu kesalahan imigresen dan pengubahan wang haram.

YouTube

Kerajaan Vietnam dalam satu kenyataan mengesahkan kerajaan Britain telah menghantar dokumentasi bagi membantu mengenal pasti identiti kesemua mayat dengan satu tugas yang rumit memandangkan kesemua mangsa membawa dokumen perjalanan dan pasport yang telah dipalsukan.

Sampel DNA turut telah diambil daripada saudara mara mangsa di Vietnam bagi mempercepatkan proses pengecaman identiti mayat. Namun, setakat ini kesemua mayat mangsa masih belum dapat disahkan identiti mereka secara rasmi.

YouTube

Vietnam telah lama menjadikan United Kingdom antara negara sumber penghijrahan secara haram bagi mereka yang ingin mendapatkan taraf kehidupan lebih baik.

Namun, imigran ini biasanya dieksploitasi dengan bekerja secara haram di bar, pusat hiburan dan ladang sebaik sahaja mereka tiba di Eropah.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Eropah GLOBAL

Video Popular