Sememangnya hidup tidak seperti yang kita gambarkan, di mana akan ada saat dan ketikanya kita menikmati puncak kehidupan sebelum jatuh dan saat kita sihat sebelum jatuh sakit. Semua itu sudah ditentukan olehNya namun kita tidak boleh berputus asa.

Selagi ada jalan, teruskanlah perjuangan seperti seorang bekas guru dari Alor Setar ini. Walaupun doktor telah mengesahkan bahawa dia menghidapi kanser limfoma tahap 4 namun ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk menjalankan perniagaan membuat tempahan tag nama khat.

Kisahnya itu dikongsikan di laman Facebook oleh seorang rakannya yang menggunakan nama Mira Jamal. Menurut Mira, rakannya yang lebih mesra dipanggil Din tidak pernah meminta-minta derma daripada orang lain dan sanggup mencari nafkah melalui perniagaan tersebut.

Walaupun berada dalam keadaan koma dan terlantar sahaja di atas katil ketika di hospital, namun Din masih lagi tetap mengambil tempahan untuk menghasilkan tag nama tersebut. Ia seakan tidak langsung merencatkan aktivitinya mencari rezeki.

Din difahamkan perlu bergantung setiap masa kepada mesin oksigen dan ini membuatkannya lebih betekad untuk menjalankan perniagaan itu bagi menampung kos rawatan dan bekalan oksigen selain belanja untuk keluarganya.

Jika anda masih ingat tentang insiden bas Rapid KL merempuh beberapa kenderaan di Ampang pada tahun lalu, Din dan isteri merupakan antara mangsa yang dilanggar dan sehingga kini tiada sebarang respon mahupun pampasan yang diberikan kepada mangsa oleh pihak Rapid.

Kereta mereka difahamkan telah rosak sepenuhnya dan ini membuatkan mereka sekeluarga tidak mempunyai kereta. Jadi, tujuan Mira berkongsi kisah rakannya ini agar orang ramai yang prihatin bersama-sama membantu Din meringankan bebannya.

Buat mereka yang berkemampuan, apa salahnya jika kita menyokong dan membantu Din dengan menempah tag nama berkenaan, bukan? Hal ini kerana, Din merancang untuk membeli mesin oksigen mudah alih, katil hospital dan kerusi roda agar dia dapat pulang ke pangkuan keluarga di rumah.

Tiada apa yang dipinta melainkan agar Din segera sembuh selain sasaran jualannya tercapai agar niatnya untuk pulang berjumpa anak-anaknya dipenuhi. Untuk mereka yang mahu membuat tempahan, boleh layari Instagram @t_biduanda.

Untuk harganya pula, ia bermula daripada RM12 untuk tag nama jenis pin dan RM15 pula untuk tag nama jenis magnet manakala caj pengeposan pula adalah RM9 untuk kawasan Semenanjung Malaysia dan RM16 untuk Sabah dan Sarawak.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular