GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi diberitahu oleh seorang warganegara China yang juga merupakan seorang ahli perniagaan bahawa dirinya hanya perlu membayar sejumlah RM400,000 bagi mendapatkan MyKad dan pasport.

“Saya mahu mendapatkan pasport yang sah di sisi undang-undang bagi memudahkan aktiviti dan urusan perniagaan saya di sini kerana jika tidak, saya akan berhadapan dengan sekatan dan masalah untuk ke Malaysia, jelas Wang De Qun.

TENGKU BAHAR/AFP via Getty Images

Lelaki yang berusia 58 tahun berkenaan kemudiannya bersetuju dan membuat bayaran bagi mendapatkannya untuk tujuan pelaburan serta memudahkan urusan perniagaan resort dan kontraktor pembinaan miliknya di negara ini.

Dia memberi keterangan di mahkamah selaku saksi pendakwaan semasa prosiding deposisi kes enam orang individu yang berhadapan dengan pertuduhan mengeluar dan menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan secara haram kepada warga asing.

Individu yang dimaksudkan itu ialah Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, Mohd Faizal Tan Abdullah, Yap Cheng Wah, Loh Chan Cheong, Chien Guan Chai dan ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56.

Urusan bagi memperolehi pasport Malaysia itu diperkenalkan kepada Wang oleh seorang lelaki Thailand bernama Liwge yang memberitahunya bahawa terdapat cara untuk mendapatkan pasport warganegara Malaysia.

Untuk tujuan itu, pengurus kewangan Wang difahamkan telah membayar sejumlah RM200,000 terlebih dahulu kepada lelaki Thailand terbabit. Menurut Wang, dia mahukan pasport untuk tujuan pelaburan seperti yang boleh didapati di Australia dan Afrika.

Dia yang memiliki pasport China dan Vanuatu menjelaskan bahawa dia mahu pasport Malaysia yang sah di sisi undang-undang dan untuk mendapatkannya, dia berjumpa dengan tertuduh iaitu ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah pada Disember lepas dan berjaya mendapatkan pasport dengan nama Ewe Chor Beng.

Menurutnya, mereka berjumpa di sebuah hotel lalu dibawa ke sebuah banggunan kerajaan. Di sana, dia kemudian dibawa ke bilik seorang pegawai dan diminta menurunkan tandatangan pada beberapa helaian dokumen yang tidak difahaminya.

Namun dia percaya bahawa dokumen tersebut merupakan satu urusan yang sah berkaitan dengan permohonan pasport yang ingin dimilikinya, selain mengesah dan mengecam pegawai yang dimaksudkan itu di mahkamah.

Setelah selesai, dia dibawa ke tingkat lain untuk urusan cap jari dan mengambil gambar dan dibawa ke hotel semula oleh Lai dan di situ, dia ditunjukkan dengan salinan dokumen yang lengkap dengan gambarnya.

Wang kemudian pulang ke China dan pada bulan Februari lalu, Lai menghubungi dan memaklumkan bahawa pasportnya telah pun siap dan dia memutuskan untuk ke Pulau Pinang untuk bertemu Lai dan dia telah diberikan kad pengenalan tertera gambarnya.

Dia menyangka bahawa dia telah memiliki pasport namun sebenarnya hanya memiliki kad pengenalan. Lai kemudian memberitahunya bahawa MyKad ini diperlukan untuk membuat pasport. Keesokannya, dia dibawa ke bangunan kerajaan yang sama untuk menjalani prosedur bagi mendapatkan pasport.

Sekitar Mac lalu, Lai sekali lagi menghubunginya yang berada di China untuk memaklumkan bahawa pasportnya telah siap dan dia kemudian datang semula ke Pulau Pinang untuk mengambil pasport berkenaan.

Untuk mencuba pasport itu, Lai membawanya ke Thailand dan pulang semula ke Malaysia keesokan harinya. Menurutnya, tiada sebarang sekatan berlaku dan urusan keluar masuk berjalan dengan lancar, selain dia difahamkan telah membayar lagi wang RM200,000 kepada Lai.

Dalam pada itu, tertuduh Mohd Faizul, berhadapan dengan 2 pertuduhan membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan menggunakan nama Ewe Chor Beng bagi memudahkan perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang di Jalan Anson.

Manakala Mohd Faizal Tan, Yap, Loh dan Chien yang tidak mengaku bersalah pula didakwa atas 2 pertuduhan menjual sijik kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di kawasan sekitar George Town.

Lai pula didakwa atas 3 pertuduhan menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe Chor Beng.

Kesemua tertuduh bakal berhadapan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 – hukuman penjara minimum 7 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular