KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 produk yang dipanggil balik oleh Kementerian Kesihatan berikutan mengandungi bahan aktif Ranitidine ekoran pengesanan impuriti N-Nitrosodimethylamine (NDMA) melebihi had yang dibenarkan.


Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu berdasarkan penilaian dan ujian makmal oleh KKM dan syarikat pemegang pendaftaran produk serta maklumat semasa daripada badan regulatori antarabangsa.

kpkesihatan

“Individu yang sedang mengambil ranitidine diingatkan bahawa manfaat meneruskan rawatan melebihi risiko yang berpotensi mengandungi NDMA dalam kuantiti kecil.

“Oleh itu, pengambilannya hendaklah diteruskan dan jika perlu dapatkan nasihat daripada profesional kesihatan untuk penukaran kepada ubat lain,” katanya dalam kenyataan.

Ranitidine adalah ubat yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami pedih ulu hati dan ulser perut dengan cara mengurangkan kadar pengeluaran asid di dalam perut.

Kebiasannya ubat berkenaan digunakan dalam jangka masa pendek iaitu beberapa hari sehingga beberapa minggu.

Beliau menjelaskan NDMA adalah salah satu impuriti daripada kumpulan nitrosamine yang biasa ditemui pada paras rendah, antaranya dalam makanan dan minuman tertentu, pencemar udara (air pollutant) dan hasil daripada proses pengilangan tertentu.

“Berdasarkan International Agency for Research on Cancer (IARC), NDMA boleh meningkatkan risiko terjadinya kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang.

“Walaupun risiko mendapat kanser akibat penggunaan ubat ranitidine dalam jangka pendek sangat rendah, KKM tetap memandang serius perkara ini.

“KKM dengan kerjasama syarikat pemegang pendaftaran produk akan meneruskan penilaian bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk terjamin,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, individu yang sedang mengambil Ranitidine adalah diingatkan bahawa manfaat meneruskan rawatan adalah melebihi risiko akibat pengambilan ranitidine yang berpotensi mengandungi NDMA dalam kuantiti yang kecil.

Justeru menurutnya, pengambilan ubat tersebut hendaklah diteruskan dan sekiranya perlu, dapatkan nasihat daripada profesional kesihatan untuk penukaran ubat lain.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular