KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad atau 1MDB yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa ditangguhkan selepas beliau dilaporkan mengalami alahan pada matanya.

Perbicaraan tersebut yang sepatutnya berlangsung pada petang 31 Oktober ditangguhkan sehingga Isnin (4 November) selepas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa kliennya mengalami bengkak pada kedua belah matanya.

“Bengkak pada matanya menjadi teruk dan doktor mengesyaki bahawa ia disebabkan oleh konjunktivitis,” jelas Muhammad Shafee yang turut memberitahu mahkamah bahawa Najib telah pun mendapatkan rawatan di Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC).

“Doktor juga mendapati bahawa mungkin Najib alah pada sesuatu. Esok (1 November) beliau akan menjalani ujian darah,” tambahnya yang turut melampirkan foto mikroskopik kepada hakim dan pihak pendakwa.

Datuk Seri Gopal Sri Ram selaku Timbalan Pendakwa Raya tidak membantah permohonan berkenaan dan hakim, Collin Lawrence Sequerah memutuskan untuk menangguhkan prosiding berkenaan dan perbicaraan tersebut dijadualkan akan berlangsung pada Isnin hadapan.

“Hanya kita tiga pihak sahaja yang memperoleh gambar ini. Saya harap ia dilindungi supaya tidak menular di internet dan menjadi bahan sempena Halloween,” jelas Shafee yang turut memberitahu bahawa anak guamnya mahu hadir ke mahkamah dengan kaca mata hitam yang besar.

Namun, bengkak pada matanya agak teruk dan melampau. Jadi, beliau tidak boleh hadir dan beliau turut memohon maaf kepada mahkamah atas kesulitan ini.

Sebelum ini, perbicaraan 1MDB juga pernah ditangguhkan ekoran masalah yang sama, di mana Datuk Seri Najib pada ketika itu turut mengalami masalah pada matanya ekoran jangkitan konjunktivitis.

Beliau yang juga merupakan ahli parlimen Pekan berhadapan dengan 4 pertuduhan menyalah gunakan kedudukannya dan menerima rasuah bernilai RM2.3 bilion daripada dana 1MDB selain 21 pertuduhan penggubahan wang haram.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular