KUALA LUMPUR: Kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM13.9 bilion bagi melunaskan bayaran khidmat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak 2017.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) perlu membayar sebanyak RM2.4 bilion untuk tahun ini.

“Pembayaran balik hutang telah dibuat sebanyak RM8.8 bilion bagi pihak 1MDB dan SRC iaitu sebanyak RM6.7 bilion pada 2017 dan RM2.1 bilion pada 2018.

“Selain daripada menggunakan dana awam, bayaran-bayaran ini juga bergantung kepada dana pemulihan aset 1MDB sebanyak kira-kira RM1.45 bilion setakat ini yang berjaya dikembalikan serta kutipan derma orang ramai kepada Tabung Harapan Malaysia sebanyak RM203 juta,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2020 baru-baru ini, sejumlah RM2.7 bilion turut disediakan untuk 2020 bagi melunaskan bayaran khidmat hutang 1MDB dan SRC.

Menurut Guan Eng, pembayaran balik hutang-hutang 1MDB dan SRC tersebut telah disembunyikan oleh kerajaan terdahulu dan hanya didedahkan selepas kerajaan Persekutuan bertukar pada 9 Mei 2018.

“Jelas sekali, pembayaran balik kerajaan untuk membiayai kerugian akibat skandal 1MDB dan SRC adalah sebahagian daripada skim penyelewengan kewangan dan salahlaku ‘kleptokrasi’ kerajaan terdahulu,” katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim terdahulu ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara.

Guan Eng berkata, ia memerlukan banyak usaha, masa dan kewangan, di samping apa yang ditemui adalah jauh lebih teruk daripada apa yang dipercayai.

Beliau menegaskan, skandal kewangan dan penyelewengan kerajaan terdahulu sama ada berkaitan 1MDB atau bukan 1MDB dianggar membabitkan kira-kira RM150 bilion.

Katanya, skandal kewangan dan penyelewengan oleh kerajaan terdahulu sama ada berkaitan dengan 1MDB atau yang bukan 1MDB dianggarkan membabitkan kira-kira RM150 bilion dengan kes 1MDB sahaja melibatkan jumlah sebanyak RM51 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.

“Bayangkan betapa besar impak jumlah RM13.9 bilion, yang perlu dibelanjakan sejak 2017 hingga 2020 untuk membiayai kerugian skandal 1MDB dan SRC sekiranya ia dapat digunakan untuk kebajikan rakyat.

“Bagaimanapun, kerajaan akan tetap komited untuk menunaikan amanah menjalankan pembangunan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular