TAMIL NAIDU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terjatuh dalam sebuah lubang sempit pada Jumaat lalu di Tiruchirappalli, Tamil Naidu, India telah disahkan meninggal dunia.

Pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus menyelamatkan Sujith Wilson dilaporkan menghentikan proses penggalian sebaik sahaja mayat mangsa ditemui dalam keadaan mulai mereput.

NDTV

Menurut jurucakap pegawai kerajaan, operasi menyelamat sepatutnya diteruskan namun bau busuk yang timbul dari dalam lubang itu sejak kelmarin menyebabkan pihak berkuasa mengisytiharkan kematian kanak-kanak tersebut. 

Pesuruhjaya J Radhakrishnan dari Pentadbiran Hasil Tamil Naidu berkata mayat mangsa telah dibawa keluar untuk menjalani proses bedah siasat sebelum dihantar pulang kepada keluarganya. 

Insiden bertukar tragedi membabitkan Sujith Wilson berlaku berhampiran rumahnya pada kira-kira jam 5.30 petang waktu tempatan di Nadukattupatti dalam daerah Tiruchirappalli, Jumaat lalu apabila kanak-kanak malang ini bermain berhampiran perigi kecil terbiar dan telah terjatuh ke dalamnya.

Facebook/Economic Times

Operasi menyelamat menjadi lambat dan sukar ekoran kawasan tersebut yang berbatu dengan prosedur penggalian yang rumit. Pasukan penyelamat terpaksa menggerudi terowong yang selari untuk mencapai kanak-kanak lelaki ini sambil memastikan laluan oksigen diberikan bagi membolehkannya bernafas di ruang tertutup.

Mangsa terperangkap selama lebih 80 jam dengan risiko untuk jatuh lebih dalam lagi selepas lubang sempit tersebut disaluti lumpur.

Menurut pihak berkuasa, pada awalnya mangsa telah terperangkap pada kedalaman sekitar 8 meter, namun percubaan menariknya keluar menggunakan tali telah menyebabkan mangsa terjatuh lebih dalam sekitar 27 meter.

Facebook/Daily Nation

Pasukan penyelamat juga menimbulkan keraguan apabila bercanggah pendapat berhubung kedalaman sebenar lubang sempit itu yang dianggarkan antara 183 meter hingga 305 meter menyebabkan kanak-kanak lelaki malang ini disahkan telah meninggal dunia.

Terdapat pihak yang mengecam tindakan kerajaan negeri yang dikatakan lambat bertindak serta melakukan beberapa percubaan yang salah ketika operasi menyelamat. 

Pasukan Penyelamat Bencana Kebangsaan (NDRF) juga didakwa lewat sampai ke lokasi kejadian dengan operasi menyelamat hanya bermula 9 jam kemudian selepas pihak mereka dihubungi.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular