KUALA LUMPUR: Program Food Bank Siswa akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mulai tahun depan untuk menyalurkan bantuan makanan kepada penuntut yang memerlukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program tersebut diperluaskan berikutan permintaan yang tinggi susulan kejayaannya membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di hampir 20 universiti awam (UA).

KPDNHEP/Facebook

“Kita menyasarkan program tersebut akan diwujudkan di 123 IPTS termasuk politeknik dan institut latihan guru di seluruh negara.

“Susulan kepada kejayaan Food Bank Siswa yang kami wujudkan sejak Ogos tahun lepas, saya ada terima banyak panggilan daripada IPTS yang mahu program ini diwujudkan juga di institusi mereka bagi membantu pelajar,” katanya.

Terdahulu beliau melancarkan Food Bank Siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNHEP, Datuk Rostam Affendi Datuk Salleh dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Azizan Abdullah.

UiTM menjadi universiti awam ke-19 yang mempunyai ‘Food Bank’ khusus untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

Seramai 1,000 penuntut akan menerima faedah daripada Food Bank Siswa UiTM ini dan menjadikan penerima keseluruhan setakat ini seramai 7,500 penuntut.

KPDNHEP/Facebook

Sebagai permulaan, perlaksanaan Food Bank Siswa UiTM mendapat tajaan daripada empat syarikat iaitu Tesco Store (Malaysia) Sdn Bhd; 99 Speedmart Sdn Bhd; Nestle (Malaysia) Berhad dan Kumpulan Legasi Z Sufi.

Program itu akan menggunakan konsep Food Pantry dan akan dikendalikan oleh Krew Food Bank Siswa UiTM.

Katanya lagi, program yang sama juga sudah dimulakan di 18 universiti awam lain iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Malaya (UM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan lain-lain.

Ditanya mengenai peruntukan itu, Saifuddin Nasution berkata, kementeriannya akan menambah baik keperluan logistik bagi program berkenaan selain membangunkan sistem servis supaya penyaluran bantuan makanan dapat direkod dan diselia dengan baik sejajar dengan pertambahan jumlah IPT pada masa depan.

Malah kesudian Kementerian Kewangan menyalurkan peruntukan sebanyak RM25 juta (pada pembentangan Belanjawan 2020) untuk program ini juga dilihat dapat membantu pihaknya memperluaskan lagi sasaran penerima mulai tahun depan.

Sementara itu, Azizan pula menyifatkan, inisiatif pelaksanaan program yang berkonsepkan daripada penuntut kepada penuntut itu mendorong pembabitkan golongan itu sebagai sukarelawan yang berperanan membantu rakan mereka yang kesusahan.

“Program Food Bank Siswa ini akan diuruskan sendiri oleh penuntut dengan setiap kolej kediaman akan mempunyai wakil mereka sendiri.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL Pendidikan

Video Popular