JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak dalam tragedi pada 18 Februari 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu terhadap Sam Ke Ting, 24 tahun, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapi selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan bermula Ogos 2017, 46 saksi pendakwaan dan 214 ekshibit telah dikemukakan di mahkamah.

YouTube

Majistret Siti Hajar dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira pemandu yang menggunakan jalan serta situasi jalan yang berselekoh dan keadaan malam yang tidak boleh menjangkakan kewujudan basikal lajak.

Bahkan katanya, faktor yang mencipta kecederaan bahaya bukan disebabkan oleh cara pemanduan.

“Bersandarkan beberapa perkara termasuk situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh di mana pemandu tidak boleh menjangkakan terdapat kumpulan berbasikal yang ramai di jalan itu pada jam 3 pagi. Selain keadaan bahaya itu dicipta oleh kumpulan basikal lajak itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, tertuduh tidak memotong kenderaan lain, tidak melawan arus dan tidak berlumba.

“Isu tertuduh menggunakan lorong kiri atau kanan tidak menjadi masalah dan dia berhak melalui lorong terbabit, selain tidak mencipta situasi bahaya,” katanya.

Menurutnya, basikal lajak adalah satu gejala sosial membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Katanya lagi, dua hari sebelum kejadian itu juga, operasi lajak sudah dilakukan bagi mengekang aktiviti menunggang basikal ala ‘Superman’ di atas jalan raya.

“Berdasarkan keterangan pasukan penyiasat, terdapat pokok besar di laluan berkenaan dan pencahayaan malap walaupun terdapat lampu di tembok pembahagi jalan,” jelasnya dalam penghakiman itu.

“Aktiviti basikal lajak sudah diketahui umum di situ dan terdapat aduan mengenai perlumbaan basikal lajak di kawasan berkenaan. Adalah munasabah mereka yang lalu di situ akan menjangka situasi terjadi. Namun, hanya terpakai kepada penduduk di situ dan mereka yang selalu menggunakan jalan itu,” katanya.

Menurutnya, tidak adil menghukum kepada pengguna jalan raya yang jarang menggunakan laluan itu.

Siti Hajar berkata, siasatan turut mendapati tertuduh tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit serta memakai tali pinggang keledar ketika memandu sekali gus membuktikan tertuduh memandu dalam keadaan bertanggungjawab dan berjaga-jaga.

Beliau kemudian memerintahkan lesen memandu tertuduh dikembalikan kepada tertuduh dengan serta-merta.

“Wang jaminan RM10,000 dikembalikan kepada penjamin,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa supaya menjaga anak-anak bagi mengelak kejadian itu daripada berulang, bahkan meminta pihak polis turut bertindak tegas.

Dalam prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan pembelaan diwakili Muhammad Faizal Mokhtar.

YouTube

Berdasarkan pertuduhan, Sam Ke Ting didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada jam 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Remaja yang maut adalah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular