ENGLAND – Seorang mangsa wanita yang ditemui terkorban bersama 38 migran dalam sebuah lori treler pada Rabu lalu (23 Oktober 2019) oleh pasukan polis Essex dikatakan pernah menghantar pesanan ringkas kepada ibunya sepanjang mangsa terkurung di dalam treler itu.

Mangsa merupakan warga Vietnam bernama Pham Thi Tra My dilaporkan telah menghantar beberapa mesej kepada ibunya dengan menyatakan bahawa dia menyayangi ibunya itu dan hampir mati kerana kesesakan nafas. Keluarga mendiang Pham percaya mendiang telah membayar sebanyak RM161,000 untuk dibawa datang ke United Kingdom bagi ‘mendapatkan kehidupan yang lebih baik’.

“Saya minta maaf ibu. Perjalanan saya ke luar negara tidak berjaya. Ibu, saya sangat sayangkan ibu. Saya hampir mati kerana tidak boleh bernafas”.

Sementara itu, menurut abang kandung mangsa, Pham dikhabarkan telah berangkat ke China dengan menaiki kapal terbang. Kemudian, mereka berhijrah ke Perancis sebelum melakukan cubaan masuk ke sempadan United Kingdom pada 19 Oktober lalu namun ‘ditangkap’ dan telah berpatah balik.

Selain Pham, terdapat lima lagi warga Vietnam dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Laporan terkini dari BBC menyatakan banyak keluarga dari Vietnam menghubungi pihak polis untuk mendapatkan maklumat sama ada ada ahli keluarga mereka yang menjadi korban dalam insiden ini.

Menurut kenyataan kedutaan China di London, “Kami menerima laporan tentang kematian 39 individu di Essex, England dengan hati yang berat. Kami sedang berhubung dengan polis British untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan tentang laporan berkenaan”.

 

Media melaporkan bahawa treler tersebut tiba di United Kingdom dari Zeebrugge (Belgium) pada Rabu pagi dan pihak polis telah bertindak menahan treler berkenaan atas laporan oleh pihak berkuasa Belgium yang mengesyaki pemandu itu atas satu kes pembunuhan. Susulan kejadian itu, pihak polis telah berjaya menahan seorang pemandu berusia 25 tahun yang berasal dari Ireland Utara.

Suspek dikenali sebagai Mo Robinson telah diberkas atas tuduhan membunuh dan akan terus kekal sebagai tahanan sehingga proses siasatan selesai. Difahamkan kesemua mangsa terkorban disebabkan oleh suhu sejuk di dalam treler sejuk beku atau mati lemas kerana terperangkap di dalam kontena besi. 11 daripada 39 mayat telah dibawa ke Hospital Broomfield di Chelmsford bagi meneruskan siasatan dengan lebih terperinci.

 

Berdasarkan maklumat MailOnline, Mo telah memberhentikan trelernya berhampiran pelabuhan Purfleet untuk mengambil kertas kerja. Bagaimanapun ketika Mo membuka pintu treler, dia terkejut apabila melihat kesemua 39 mayat bergelimpangan di dalam kontena. Mo terus menghubungi 999 dan seorang saksi kejadian mendakwa melihat Mo ‘pengsan’ selepas mengetahui kandungan sebenar di dalam treler yang dibawanya. Sementara itu, pemilik berdaftar trak berkenaan memaklumkan bahawa dia dan suami telah menjual treler berkenaan kepada sebuah syarikat di Ireland Utara kira-kira setahun yang lalu. Kedua-dua pasangan ini telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kejadian yang mengejutkan ini membuatkan ramai individu mengadakan upacara untuk memperingati kesemua mangsa dengan membawa lilin di hadapan City Hall. Sementara itu, pihak polis berpendapat bahawa mangsa-mangsa ini telah diseludup oleh kumpulan penjenayah yang beroperasi di United Kingdom untuk menjadikan mereka sebagai hamba dan bekerja di pusat urutan, restoran serta pusat rawatan kuku.

Berikut merupakan kronologi kejadian penyeludupan 39 migran warga asing yang terkorban di dalam treler.

15 Oktober – Mo Robinson telah membawa treler itu dari Dublin ke County Monaghan, Ireland. Suspek kemudiannya memandu treler berkenaan kembali ke Dublin sebelum menaiki feri ke Holyhead.

20 Oktober – Mo menaiki feri pulang dari Holyhead ke Dublin pada jam 2.30 pagi. Pada jam 8.55 malam, Mo menaiki feri dari Dublin ke Holyhead menuju ke Britain.

23 Oktober – Mo mengambil kontena dari Pelabuhan Purfleet di Essex (12.30 pagi). Mo memberhentikan treler di Taman Industri Watergate (1.10 pagi). Polis menghubungi ambulans setelah menemui 39 mayat di dalam treler itu (1.40 pagi).

25 Oktober – Pasangan suami isteri Joanna dan Thomas Maher, 38 tahun yang menjadi pemilik terakhir treler berkenaan telah ditahan atas tuduhan membunuh dan memperdagangkan manusia.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular