Masyarakat milenial kini menjadikan waktu bersukan pada waktu malam sebagai rutin harian mereka. Mana tidaknya, sepanjang hari mereka sibuk bekerja sehingga tiada masa langsung untuk kekal aktif. Oleh sebab itu, mereka lazimnya memilih waktu malam untuk bersukan.

Gambar hiasan/Pixabay

Namun sebenarnya, mereka yang aktif bersukan pada waktu malam mungkin boleh diserang penyakit berbahaya seperti masalah pada jantung dan tekanan darah tinggi. Pendedahan itu dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr. Zubaidi Ahmad.

Menurutnya, aktiviti sukan seperti bermain futsal, badminton dan sebagainya itu banyak menggunakan tenaga dan ia membahayakan kesihatan jika tidak diuruskan sebaiknya. Hal ini kerana, seseorang menghabiskan secara puratanya 8 jam bekerja untuk sehari.

Sudah tentulah badan memerlukan rehat sepanjang tempoh bekerja yang memenatkan berkenaan. Jika aktiviti bersukan pada waktu malam diteruskan selepas waktu bekerja, badan cenderung untuk menjadi lesu kerana dipaksa bekerja keras, selain perlu mengerah tenaga.

Ia menyebabkan tekanan darah pada tubuh meningkat naik sekaligus mampu mengakibatkan masalah darah tinggi dan jantung. Tambahnya, bersukan pada waktu malam juga mengganggu kitaran waktu tidur.

Gambar hiasan/Pixabay

“Jangan terlalu paksa tubuh untuk melakukan perkara diluar kemampuan. Bersenam atau melakukan aktiviti sukan berat digalakkan pada waktu pagi, mengikut kemampuan serta umur seseorang dan tidaklah keterlaluan”, jelasnya lagi.

Bersukan pada waktu malam menurutnya boleh namun ia seharusnya melibatkan sukan ringan yang tidak menggunakan banyak tenaga. “Apabila melakukan aktiviti sukan yang berat, jantung terpaksa bekerja dengan kuat dan tidak mampu mengepam darah sebaiknya maka ia mengundang kepada serangan jantung”.

Seseorang itu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui status kesihatan sebelum melakukan aktiviti fizikal bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini, tidak kiralah peringkat usia. Hal ini kerana mereka lazimnya beranggapan bahawa mereka masih muda dan tidak berpenyakit.

Gambar hiasan/Pixabay

Mati mengejut dalam kalangan individu pertengahan usia dan warga emas yang bersukan adalah berpunca daripada penyumbatan saluran darah koronari sekaligus membawa kepada serangan jantung dan ia mampu dielakkan melalui pemeriksaan kesihatan dan ujian jantung terlebih dahulu.

Beliau turut mengulas mengenai kes kematian mati mengejut ketika bersukan akibat serangan jantung yang terjadi pada Mohd Khairi Harun, selaku Exco Majlis Belia Jajahan Gua Musang baru-baru ini. Menurutnya, mati mengejut ketika bersukan perlu dipandang serius dan diberi perhatian sewajarnya.

 

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular