KUALA LUMPUR: Lembaga Universiti Malaya (UM) tidak akan akan menahan skrol dan transkrip graduan yang melakukan protes dengan membawa plakad di atas pentas ketika berlangsung Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) kali ke-59,14 Oktober lalu.

Pengerusi Lembaga UM Tengku Datuk Dr. Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, graduan kejuruteraan, Wong Yan Ke dibenarkan untuk mengambil transkrip ijazahnya pada bila-bila masa bermula 18 Oktober lalu.

“Pihak UM tidak akan menahan skrol dan transkrip akademik atau menarik balik ijazah graduan terbabit.

“Pengedaran skrol dan transkrip akademik secara berpusat dilakukan mulai 12 hingga 20 Oktober dengan graduan juga boleh mengakses serta mencetak skrol dalam talian melalui sistem graduand.um.edu.my mulai 21 Oktober ini,”katanya.

Isnin lalu, video berdurasi 14 saat yang tular di Twitter menunjukkan pelajar terbabit yang dikenali sebagai Wong Yan Ke melaung ‘ini tanah Malaysia’ sambil mengangkat plakad yang tertera perkataan ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik menerima ijazahnya.

Berdasarkan plakad tersebut, Yan Ke mendesak Naib Canselor UM, Datuk Dr. Abdul Rahim Hashim untuk meletak jawatan kerana didakwa gagal melindungi hak pelajar dan menyelesaikan krisis kewangan universiti tersebut selain didakwa menjadi boneka politik.

Dalam pada itu, Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, pihak universiti itu juga menghormati hak dan prinsip kebebasan bersuara setiap individu yang bernaung di bawahnya, dalam melaksanakan kebebasan itu mereka perlu menghormati hak orang lain juga.

Beliau berkata, pihak UM berpandangan bahawa perbuatan bantahan graduan itu tidak menghormati Istiadat dan mencemarkan majlis sekali gus dilihat tidak menghormati graduan yang diraikan serta ibu bapa serta para tetamu yang hadir.

“Lembaga Pengarah Universiti amat kesal dengan kejadian yang berlaku dan memohon maaf kepada para graduan, ibu bapa dan tetamu jemputan atas gangguan kepada majlis, katanya.

Beliau sebaliknya menjelaskan, pihak pengurusan universiti akan lebih berhati-hati dan melaksanakan ketelitian wajar yang lebih ketat serta dinamik agar program yang disertai UM di masa depan mempertimbangkan semua aspek kepentingan negara.

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular