Pada waktu kecil dahulu, kita pasti akan singgah membeli ‘roti petpet’ sebelum masuk ke sekolah atau selepas pulang dari sekolah bukan? Pak cik penjual roti tersebut akan membunyikan hon untuk menarik perhatian pelanggannya supaya membeli roti daripadanya. Bukan sejenis, malah bermacam-macam jenis roti yang dijual, memang penuh bakul atau tong di motosikalnya sampai rambang mata dibuatnya!

Kenangan itu memang indah untuk dikenang namun pada hari ini, lain pula ceritanya. Baru-baru ini tular di media sosial video seorang pak cik penjual roti dirompak oleh seorang remaja lelaki. Video yang dimuat naik oleh 999 Malaysia di Twitter itu telah ditonton lebih 290 ribu kali dan 17,708 ulang kicau.

Melalui rakaman video di lokasi kejadian, kelihatan beberapa pelanggan sedang memilih roti sambil diperhatikan oleh pak cik penjual roti. Tiba-tiba seorang remaja lelaki terus beredar sambil membawa roti yang diambil tanpa membayarnya terlebih dahulu.

Menyedari bahawa rotinya dicuri, pak cik tersebut terus mengejar remaja tersebut dan memintanya untuk memulangkan roti yang diambil.

Pak cik tersebut terus merayu supaya remaja itu memulangkan rotinya. Akibat berasa bengang tidak dapat melarikan roti yang dicuri, remaja itu melepaskan roti tersebut sambil menumbuk perut pak cik tersebut.

Selepas menumbuk pak cik itu, remaja tersebut berjalan ke arah kawannya yang sedang menunggu di motosikal. Masih tidak puas hati kerana tidak berjaya mengambil semua roti yang dicuri, remaja tersebut marah-marah dan akhirnya berlalu pergi.

Kejadian yang berlaku awal pagi itu telah mengundang rasa marah dan geram para netizen. Ada yang mengatakan disebabkan telah hilang rasa malu, maka remaja tersebut tidak rasa bersalah untuk mencuri pun.

 

Ada netizen yang berpendapat bahawa tindakan penjenayah hari ini semakin berani terutama terhadap orang tua kerana mereka tahu orang tua tidak mampu untuk mengapa-apakan mereka.

 

 

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa tiada sesiapa pun yang tampil untuk membantu pak cik tersebut. Keadaan tersebut memang tidak sepatutnya berlaku namun harus diingatkan dalam situasi seperti ini keselamatan perlu diutamakan.

Ini kerana kita khuatir jika pelaku menyimpan senjata lalu bertindak ganas sehingga mencederakan orang awam. Tindakan yang perlu diambil seperti yang dinyatakan oleh netizen ialah mencatatkan nombor plat kenderaan yang dinaiki, merekodkan tindakan pelaku dan membuat laporan polis.

 

Melihatkan kejadian itu, siapa pun tidak menyangka pak cik penjual roti pun dirompak. Sungguh kasihan pak cik itu. Semoga murah rezeki pak cik tersebut dan remaja terbabit berjaya diberkas dan dikenakan hukuman setimpal.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular