Kanser payudara merupakan salah satu berita yang amat menggerunkan bagi kaum wanita. Justeru, ramai wanita membuat keputusan untuk tidak menjalani pemeriksaan payudara kerana takut jika kebenaran yang akan terungkai membawa berita yang tidak diingini. Pakar Bedah Pusat Pakar Payudara di Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr Patricia Alison Gomez pernah menceritakan satu kes pesakit kanser payudara yang membiarkan payudaranya ‘pecah’ dan bernanah kerana takut untuk mendapatkan rawatan.

Membuat pemeriksaan secara berkala membolehkan kita mengesan kewujudan kanser itu dari awal dan menjalani sebarang rawatan yang diperlukan. Disebabkan oleh perasaan takut untuk mendapatkan rawatan inilah yang menyebabkan lebih 500,000 wanita seluruh dunia meninggal dunia akibat barah ini. 

Baru-baru ini, isteri kepada Perdana Menteri iaitu Tun Dr Siti Hasmah telah berkongsi pengalaman peribadinya sendiri yang telah bebas daripada belenggu kanser. Tun Siti Hasmah mula mendapatkan rawatan pada bulan Mac lalu setelah doktor mengesahkan terdapat benjolan kecil pada payudara kirinya.

“Doktor menasihatkan saya untuk membuang ketulan itu dalam masa seminggu. Pada mulanya saya tidak mahu memberitahu suami saya, saya tidak mahu mengganggu beliau yang sibuk dengan pelbagai urusan selepas pulang dari luar negara… Selepas keputusan dikeluarkan, doktor mengesahkan ia adalah ketumbuhan, barulah saya beritahu dan beliau sangat terkejut”.

“Kanser payudara boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, daripada yang masih muda mahupun berumur 90-an seperti saya. Jangan risikokan nyawa anda kerana ini adalah sejenis kanser yang boleh diatasi jika dikesan lebih awal. Lebih cepat kita dapat rawatan, lebih cepat kita sembuh,” ucap beliau semasa pelancaran Kempen Kesedaran Kanser Payudara (KL Pink Oktober) 2019 di Hospital Kuala Lumpur.

Gambar Hiasan | Miguel Á. Padriñán – Pexels

Terdapat 8 tanda awal kanser payudara yang perlu anda ambil berat:

#1 Benjolan di sekitar payudara

Meskipun barah ini bermula dengan wujudnya ketulan atau benjolan di payudara, ketahuilah bahawa bukan semua benjolan itu kanser tetapi ketulan tidak sakit yang patut diberikan perhatian. 

#2 Wujud lelehan cecair dari payudara

Jika cecair yang keluar adalah pekat dan warnanya jernih, mungkin ianya adalah petanda barah di peringkat awal dan masih boleh dicegah. Namun seandainya cecair itu berwarna coklat atau merah, kanser tersebut berada di tahap bahaya dan anda perlulah mendapatkan rawatan dengan segera.

#3 Kulit payudara kemerah-merahan

Jika anda mengalami barah payudara, akan wujud tanda kemerahan pada kulit selain terasa hangat dan membengkak pada bahagian tersebut. 

#4 Gatal-gatal di bahagian puting

Selain kegatalan, kulit di bahagian payudara juga akan menggelupas dan terasa sakit.

#5 Saiz payudara berubah tanpa sebab

Perubahan saiz payudara adalah normal terutamanya bagi golongan remaja yang sedang beralih ke fasa dewasa. Namun, jika perubahan ini berlaku secara mendadak sama ada ianya semakin membesar atau mengecil, ia mungkin salah satu tanda kanser.

#6 Sakit payudara

Mungkin ramai yang akan merasa sakit di bahagian payudara ketika datang haid dan perkara ini adalah normal. Namun, sekiranya sakit itu berterusan sehingga menyebabkan payudara anda membesar. Jika ia berlaku, anda tidak disarankan untuk menyentuh payudara dan meletakkan sebarang ubat seperti minyak untuk melegakan kesakitan.

#7 Puting masuk ke dalam

Puting masuk ke dalam adalah satu perubahan yang ganjil pada payudara. Jadi, segeralah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

#8 Payudara berkedut

Bagi golongan yang sudah berumur, payudara mengendur dan berkedut adalah satu perkara biasa. Tetapi, sekiranya anda masih muda dan mempunyai kedutan, ini mungkin tanda anda menghidap kanser payudara.

Sebagai peringatan buat semua kaum wanita di luar sana, segeralah jalani ujian pemeriksaan untuk mengesan kanser payudara. Terdapat tiga jenis ujian yang boleh diikuti iaitu mamografi, ultrasonografi dan biopsi. 

Mamografi merujuk kepada ujian sinaran X yang dijalankan bagi mengesan perubahan sel dan tisu payudara yang terlalu kecil untuk dikenalpasti jika diperiksa menggunakan tangan. Ultrasonografi pula adalah alat yang menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk mengenalpasti sifat ketumbuhan tersebut sama ada ianya berbentuk pepejal atau berisi bendalir. Ujian ketiga adalah biopsi yang merupakan ujian lanjutan untuk memeriksa tisu kanser. Menerusi biopsi, sampel tisu payudara akan diambil dan diperiksa melalui mikroskop.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular