HONG KONG – Seorang wanita yang terlibat dengan demonstrasi tunjuk perasaan yang juga merupakan seorang pelajar di sebuah universiti tempatan mendakwa bahawa dirinya menjadi mangsa serangan seksual oleh pihak polis.

Sonia Ng, pelajar jurusan pendidikan awal kanak-kanak di Universiti Cina Hong Kong (CUHK), membuat tuduhan berkenaan sewaktu sesi mesyuarat dewan bandar dengan canselor universiti pada 10 Oktober lalu.

“Mereka marah, menengking dan meminta saya diam sekitar jam 2:00 pagi, lalu tangan saya digari dan dihantar ke sebuah bilik yang gelap untuk menjalani pemeriksaan badan,” ceritanya.

Mohd Rasfan/AFP via Getty Images

“Mereka mencaci, memukul dan melakukan serangan seksual terhadap kami sesuka hati sahaja, dan kami tidak mampu melawannya”, tambahnya lagi.

Sebelum ini, masyarakat dunia sudah sedia maklum tentang pihak berkuasa di Hong Kong terutamanya polis, menghadapi tekanan atas pelbagai tuduhan kekerasan, penyeksaan dan serangan seksual yang dilakukan terhadap penunjuk perasaan.

Kejadian itu dilaporkan telah berlaku pada 31 Ogos lalu di mana Sonia ditahan di stesen Prince Edward lalu dihantar ke Hospital Princess Margaret, Balai Polis Kwai Chung dan akhirnya ke Pusat Tahanan San Uk Ling – terletak di sempadan dengan tanah besar China.

Sebelum Sonia membuat laporan, kesemua mangsa yang turut melaporkan tuduhan yang sama ternyata masih menjaga identiti dan enggan mendedahkan nama sebenar mereka.

Billy H.C. Kwok/Getty Images

Beberapa jam selepas aduan Sonia, pihak polis menerusi satu kenyataan berkata bahawa pihak mereka sudah mula melakukan siasatan namun tidak berjaya untuk menghubungi para pelajar yang membuat laporan.

Menurut pro-canselornya, Dennis Ng Kee-pui, Sonia merupakan salah seorang daripada 32 orang pelajar universiti berkenaan yang ditahan sejak bulan Jun lalu ekoran penglibatan mereka dalam protes menentang pencerobohan Beijing.

Selain itu, para aktivis dan kumpulan yang memperjuangkan hak asasi manusia turut menuduh polis menyeksa dan melayan tahanan dengan buruk di pusat terbabit. “Kami dipaksa untuk mengikut sahaja di mana kami dihantar. Jika mereka mahu kami ke bilik gelap, kami terpaksa akur. Jika dipaksa buka baju, maka terpaksa buka”, kata Sonia.

Sonia juga turut mendedahkan bahawa bukan dia sahaja yang menjadi mangsa serangan seksual oleh pihak polis. “Ada tahanan lain yang diserang seksual lebih daripada seorang pegawai polis, tidak kiralah apa jantina sekali pun.”

Tambah Sonia lagi, mereka juga turut diibaratkan seperti daging di atas papan pemotong – yang menunggu masa sahaja untuk ‘dicincang’. Semasa ditahan, telefon mereka dirampas dan dimatikan.

Ketika sesi perjumpaan berlangsung, Sonia menanggalkan topeng muka yang dipakainya dan berhadapan dengan naib canselor, Rocky Tuan dan bertanya sama ada beliau sanggup memperjuangkan hak pelajar dan mengutuk keganasan pihak polis terhadap penunjuk perasaan yang ditahan.

“Saya sanggup dan berani untuk membuka topeng muka saya, sanggupkah kamu juga menunjukkan keberanian dan memberi sokongan pada kami?”, tanyanya. Sementara itu, Rocky menjelaskan bahawa dirinya mengutuk segala bentuk keganasan.

Billy H.C. Kwok/Getty Images

“Sonia, kamu tidak keseorangan. Kami akan bersama-sama dengan kamu bagi menuntut keadilan”, tulis satu kenyataan daripada pihak kaki tangan, pelajar dan alumni universiti terbabit yang menyokong Sonia sepenuhnya.

“Ia menyakitkan hati kami apabila mendapat tahu bahawa pelajar kami melalui pengalaman dan layanan kejam”, tambah kenyataan itu lagi dan ia telah ditanda tangani lebih 21,400 buah tanda tangan individu.

Pada 11 Oktober lalu, Sonia memberitahu media di Hong Kong bahawa dia sanggup membawa perkara ini kepada umum kerana dia tersisih daripada keluarganya. Selepas ucapannya, Sonia difahamkan telah menerima banyak panggilan daripada nombor-nombor dari tanah besar China.

Sonia pada mulanya mendedahkan pengalamannya ditahan di bawah biro polis Kwai Chung dengan menggunakan nama Cik Lung semasa sidang akhbar pada 4 September lalu.

Dia yang memakai cermin mata hitam dan topeng hitam memberitahu wartawan bahawa dia telah dipukul pada bahagian payudara oleh seorang pegawai polis. Dia juga mendakwa bahawa polis tidak membenarkan dirinya untuk menutup pintu selain melihatnya ketika menggunakan tandas.

Menurut pihak polis, setakat ini sudah 2,400 orang individu telah ditahan ekoran terlibat dengan pergerakan pro-demokrasi, di mana seramai 750 orang daripadanya berumur daripada 18 tahun ke bawah. Lebih 100 orang pula berumur 16 tahun ke bawah.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular