KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan gaji minimum akan dinaikkan dari RM1,100 sebulan kepada RM1,200 sebulan berkuat kuasa pada tahun 2020 bagi mengimbangi keperluan pekerja dan majikan dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup di bandar utama.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat berkata, kenaikan itu hanya untuk di wilayah bandar utama sahaja.

“Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambah baik kehidupan rakyat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

“Bagi mengimbangi keperluan pekerja dan majikan dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup di bandar-bandar utama, Kerajaan mencadangkan supaya gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan hanya di wilayah bandar-bandar utama berkuat kuasa pada tahun 2020,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta itu kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

Kajian itu akan meliputi empat perkara iaitu pertama, meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai 2021.

Kajian semula itu turut membabitkan langkah memanjangkan kelayakan bayaran lebih masa bagi golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan.

“Ketiga, menambah baik pengendalian aduan gangguan seksual dari segi perlindungan dan prosedur; dan keempat, memantapkan peruntukan berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan contohnya agama, kaum atau jantina,” katanya.

Selain itu, Guan Eng berkata, selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu, kerajaan juga akan meneruskan usaha untuk memodenkan pasaran buruh negara dengan menambah baik syarat-syarat pekerjaan untuk pekerja.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular