SHAH ALAM – Seramai 118 orang yang menghadiri Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Malawati didapati mengalami keracunan makanan setelah memakan makanan yang disediakan oleh pihak penganjur.

Datuk Dr. Khalid selaku Pengarah Kesihatan Selangor mengesahkan laporan kejadian tersebut yang berlaku pada jam 11:15 pagi semalam (6 Oktober) apabila beberapa individu mengalami simptom seperti muntah dan cirit-birit.

“Pasukan kecemasan dikejarkan ke tempat kejadian. Hasil saringan mendapati bahawa seramai 27 orang dikategorikan dengan tag kuning (separa kritikal) dan 91 orang lagi dengan tag hijau (stabil) dan tiada mangsa bertag merah”.

“Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang telah diletakkan dalam status berjaga-jaga pada jam 11:50 pagi bagi menerima mangsa kritikal dan separa kritikal”, tambahnya.

Pesakit yang stabil telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di tempat kejadian. Sementara itu, Jabatan Kesihatan Selangor mengesahkan bahawa nasi lemak menjadi punca peserta kongres mengalami keracunan.

Ia disahkan oleh Datuk Dr. Khalid berdasarkan lima sampel nasi lemak yang ditinggalkan di lokasi. “Kesemua mangsa yang terlibat merupakan pelajar universiti dan mereka telah memakan nasi lemak semasa tiba di program tersebut”.

Ringkasnya, kongres berkenaan melibatkan 4 buah universiti – Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara bagi membincang dan mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi oleh orang Melayu.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular