IPOH: Pasti ramai pemandu kenderaan di jalan raya masih lagi tidak mementingkan keselamatan dan tidak memberikan tumpuan dengan pemanduan apabila masih guna telefon bimbit ketika memandu walaupun berkali-kali dinasihatkan tidak berbuat demikian.

Terbaharu sebuah rakaman video berdurasi 22 saat tersebar di laman sosial Facebook menunjukkan seorang pemandu bas dengan selamba menggunakan telefon ketika sedang memandu.

Video berkenaan yang dirakam oleh seorang yang dipercayai penumpang bas berkenaan yang tidak selesa dengan sikap pemandu tidak mementingkan keselamatan penumpang.

Mungkin mereka merasakan sudah cukup cekap untuk kawal stereng dan jalan tak sesak sangat ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Namun, hakikatnya, bila-bila masa saja kemalangan boleh berlaku disebabkan kelekaan pemandu seperti ini.

Bayangkan kalau disebabkan mahu memeriksa status Facebook rakan, ada nyawa mungkin manusia lain yang melayang.

Video berkenaan yang dilihat boleh meragut nyawa penumpang bas kemudian dikongsi lebh 10,000 dan lebih 1,200 pengguna memberi komen dengan perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan.

Walaupun berkali nasihat diberikan namun sikap manusia zaman moden yang sukar “berpisah” dengan peranti pintas itu yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Bukan setakat memeriksa mesej, sesetengah pemandu mempunyai tabiat sambil memandu, masa itulah juga nak periksa status sosial media dan lain-lain.

Budaya menggunakan telefon semasa memandu mampu mengakibatkan fokus pemanduan seseorang pemandu itu terjejas dalam sekitar lima hingga 10 saat atau pada kelajuan normal di lebuh raya, kenderaan pula seolah-olah bergerak tanpa kawalan kira-kira 160 meter.

Pakar Kejuruteraan Lebuh Raya Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Ezree Abdullah, yang dipetik menerusi mediamaklumat.com menjelaskan, ini termasuk pemandu menggunakan aplikasi seperti navigasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), menghantar atau menerima mesej, mengemas kini status dalam media sosial dan bermain permainan video.

Katanya lagi, dalam situasi tersebut tidak ramai pemandu yang menyedari mereka sebenarnya sedang mengalihkan pandangan pemanduan mereka serta turut menghilangkan fokus terhadap lenderaan yang dikawal sekaligus akan mengundang kemalangan jalan raya.

Sementara itu, memetik laporan Berita Harian sepanjang tahun 2017, lebih 46,000 saman dikeluarkan oleh polis terhadap pemandu atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, peningkatan hampir 4,000 daripada 42,641 jumlah saman yang dikeluarkan pada 2015.

Statistik itu jelas menunjukkan kesedaran pengguna mengenai bahaya menggunakan telefon bimbit ketika memandu masih rendah, malah membimbangkan apabila jumlah saman yang dikeluarkan bagi kesalahan itu meningkat dengan agak tinggi.

Perbuatan memandu sambil menggunakan telefon bimbit dianggap memandu secara berbahaya dan mereka yang berbuat demikian boleh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika didapati bersalah, boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300. Justeru, ubahlah sikap demi kebaikan bersama.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular