SHAH ALAM – Tertuduh pertama, Samirah Muzaffar tidak menunjukkan apa-apa reaksi bersedih seperti mana yang dilalui oleh seorang isteri apabila mengetahui suaminya sedang terperangkap di dalam sebuah rumah yang sedang terbakar, demikian keterangan saksi ke-9 dalam perbicaraan kes pembunuhan CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan.

Pegawai bomba Mohamad Afzan Majid, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan tidak menangis, meratap atau meraung apabila mengetahui suaminya maut akibat kebakaran pada 14 Jun 2018.

Mohamad Afzan, 50 tahun memberitahu beliau tidak pernah melihat reaksi bersahaja seperti yang ditunjukkan isteri mangsa, Samirah Muzaffar, 44 tahun sepanjang bertugas selama 22 tahun sebagai anggota bomba.

Sepanjang waktu itu, beliau pernah memadam lebih 500 kebakaran termasuk membabitkan kematian.

Katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Asyhraf Ashy’ari Kamaruzaman, ketika sampai di lokasi Mutiara Homes Damansara pada jam 12.46 tengah hari pada hari kejadian, seorang wanita iaitu tertuduh melambai ke arah pasukan bomba yang meletakkan jentera berhampiran pagar rumah.

“Kami mendekati wanita itu (tertuduh) dan diberitahu dia adalah pemilik rumah dan isteri kepada mangsa kebakaran. Dia juga memberitahu berlaku kebakaran di bilik bahagian atas rumah. Masa itu, wajah dia bersahaja dan tiada riak sedih,” katanya di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Saksi memberitahu mahkamah, berdasarkan pengalamannya sebagai anggota bomba, selalunya penghuni rumah yang terbabit dengan kebakaran akan segera meninggalkan rumah dan menunggu di luar rumah sementara pihak bomba memadamkan kebakaran.

Katanya, jika membabitkan kematian akibat kebakaran, penghuni rumah akan meratap, meraung dan menangis akibat terlalu sedih selepas kehilangan ahli keluarga.

Anggota bomba yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Damansara itu berkata, beliau berjaya memadamkan kebakaran yang dikategorikan sebagai kebakaran yang tidak terlalu besar itu dalam tempoh dua minit.

Selepas kebakaran dipadamkan, Mohamad Afzan berkata beliau menyerahkan tugas seterusnya kepada pegawai bomba Muhammad Rezza bagi melakukan proses membuang asap.

Beliau kemudian membawa tertuduh turun berikutan dia telah bertindak menghalangnya melakukan tugas dengan cuba memasuki bilik berkenaan.

Saksi berkata, selepas memastikan kebakaran dapat dikawal, beliau mencabut segala peralatan yang dipakainya dan melihat Pemangku Penyelia Operasi Pegawai Bomba Tanhoss Bah Agem, turun sebelum memaklumkan terdapat mayat seorang lelaki di bilik terbabit.

“Tertuduh merayu untuk naik ke bilik itu untuk melihat suaminya. Tanhoss membenarkan sebelum saya mengiringi tertuduh ke bilik tersebut. Selepas sampai di dalam bilik, saya melihat terdapat satu mayat lelaki terbaring dalam keadaan terlentang dan hanya berseluar dalam sahaja,” saksi ke-9 ini memberitahu.

“Tertuduh melutut mendekatkan diri dengan mayat dan dia pandang ke arah kepala mangsa dalam tempoh lima minit,” katanya.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu reaksi wajah tertuduh kerana berada di belakangnya, cuma nampak kepala tertuduh bergerak ke kiri dan ke kanan,” katanya ketika disoal balas peguam tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Mohamad Afzan berkata tertuduh tidak mengeluarkan sebarang perkataan ketika turun dan kemudian menuju ke sinki dapur membuat susu dalam botol susu bayi untuk seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan 3 tahun.

Terdahulu, saksi ke-8, Konstabel Nor Azura memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau menerima panggilan kecemasan pertama daripada pengawal keselamatan berbangsa Nepal, Raju Kumar Pandit pada 14 Jun 2018.

Selepas memindahkan panggilan untuk tindakan selanjutnya, saksi telah memfailkan Laporan Maklumat Pertama (FIR) berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Raju.

Raju sebelum ini memberi keterangan bahawa sebelum ketibaan pihak bomba, beliau cuba memecah pintu bilik mangsa untuk masuk tetapi telah gagal berbuat demikian.

Samirah Muzaffar bersama dua remaja berusia 17 dan 14 tahun, serta seorang wanita warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa dengan pertuduhan membunuh Allahyarham Nazrin Hassan antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, 14 Jun 2018 di sebuah rumah di Mutiara Homes, Damansara.

Tuduhan membunuh dibacakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sumber : Malay Mail

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular