- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Jangan pakai baju hujan labuh sehingga ke tayar jika tidak mahu ditimpa kemalangan seperti ini

Setiap hari ada sahaja kemalangan yang dilaporkan berlaku sama ada ianya sekadar menyebabkan kecederaan ringan atau mengorbankan nyawa. Disebabkan itulah wujudnya peribahasa yang menyebut ‘malang tidak berbau’. Kita tidak akan pernah mampu untuk membuat jangkaan secara tepat mengenai sesuatu kemalangan.

 

Adakalanya kemalangan itu berpunca daripada sikap sendiri yang memandu secara tidak berhemah, ada juga kemalangan yang berpunca daripada orang lain dan juga kemalangan atas faktor-faktor tertentu seperti keadaan jalan raya, cuaca dan sebagainya.

Tetapi dalam video yang tular di Facebook pada Selasa lalu, menunjukkan seorang penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan akibat baju hujannya tersangkut di dalam tayar. Video berdurasi 3 minit 20 saat ini menunjukkan rakaman dari dalam kereta salah seorang saksi kejadian yang memaparkan secara jelas bagaimana mangsa kemalangan berputar di udara sebelum terbabas dan terseret ke tepi jalan.

Mangsa dipercayai seorang wanita yang bekerja sebagai jururawat dikatakan dihimpap oleh motosikal miliknya dan tidak berjaya membebaskan diri akibat baju hujannya yang tersangkut pada tayar belakang. Kejadian kemalangan ini mendapat perhatian daripada pengguna jalan raya lain yang turun padang untuk menghulurkan bantuan bagi membebaskan wanita itu.

Namun ternyata, ianya bukan satu misi penyelamatan yang mudah. Dilihat seramai tujuh orang lelaki telah datang membantu di mana sebahagiannya bertugas mengangkat motosikal manakala seorang lagi cuba untuk melepaskan baju hujan yang tersangkut itu. Setelah beberapa minit, barulah wanita ini berjaya diselamatkan namun keadaan agak teruk memandangkan wanita ini kelihatan tidak mampu untuk bangun atau menggerakkan badannya.

Insiden yang berlaku pada 30 September ini menerima 6,173 perkongsian dan rata-rata warga Facebook mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi membantu menyelamatkan wanita itu.

”Semoga semua yang menolong kakak itu, Allah murahkan rezeki mereka semua. Buat kakak misi dan pengguna motosikal lain, beringat.”

“Nasib baik kereta itu sempat menekan brek dan nasib baik juga keadaan jalan yang kurang kenderaan. Semoga Allah membalas jasa kalian yang menolong.”

Disebabkan itulah kita dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan memakai topi keledar bagi tujuan keselamatan. Kegagalan berbuat demikian pasti akan mengundang risiko nyawa kepada semua pengguna jalan raya. Jadikanlah video ini sebagai peringatan buat semua untuk sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan. Sayangi nyawa anda dan ingati orang tersayang.

Tonton video di sini [1].

loading...