Tasik Putrajaya adalah tasik buatan manusia dan sememangnya terkenal sebagai tempat riadah umum dengan pemandangan yang indah. 

Oleh kerana keindahannya, tempat ini menjadi lokasi popular yang menjadi kunjungan warga tempatan dan luar negara. Beberapa acara sukan air peringkat tempatan dan antarabangsa turut diadakan di sini.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa segala aktiviti dan penjagaan tasik ini sentiasa dipantau oleh Pengurusan Ekohidrologi, Bahagian Alam Sekitar, Tasik dan Wetland Perbadanan Putrajaya, termasuk spesies haiwan dan tumbuhan yang berada dalam ekosistem di sekitar tasik ini.

Facebook | Kelab Tasik Putrajaya

Bagaimana sekiranya terdapat sekumpulan manusia kurang arif dengan pemeliharaan serta pemuliharaan spesies flora dan fauna serta hidupan liar tempatan melepaskan spesies haiwan liar asing sehingga ia mampu membawa ancaman kepada ekosistem sedia ada.

Baru-baru ini, tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan sekumpulan warga emas telah melepaskan seekor kura-kura daripada spesies asing yang dikenali sebagai ‘Alligator Snapping Turtle’ atau kura-kura buaya ke dalam Tasik Putrajaya.

Satu tindakan yang telah mendapat kecaman di kalangan pencinta haiwan tempatan dan kebanyakan netizen kerana spesies kura-kura ini berasal dari Amerika Syarikat, spesies kura-kura asing yang agresif serta boleh memudaratkan ekosistem haiwan tempatan yang berada di dalam tasik itu, termasuk kemungkinan orang ramai yang berada di sekitar tasik untuk beriadah.

Perkongsian oleh seorang netizen @apaiothmn di Twitter menunjukkan gambar kumpulan warga emas ini telah melepaskan kura-kura buaya tersebut ke dalam Tasik Putrajaya dipercayai sebelum ini dipelihara bagi tujuan keagamaan serta mendapatkan tuah dan nasib baik.

Namun, berkemungkinan haiwan reptilia ini terpaksa dilepaskan selepas kura-kura agresif tersebut semakin membesar.

Twitter |@apaiothmn

Menurut @apaiothmn, spesies haiwan penceroboh seperti ‘Alligator Snapping Turtle’ akan mendatangkan risiko yang tinggi kepada spesies haiwan tempatan sedia ada, dengan merosakkan ekosistem dan habitat semula jadi mereka. Turut menjadi kebimbangan apabila terdapat orang ramai terutama kanak-kanak yang terserempak haiwan ini, maka ia mungkin boleh mendatangkan bahaya.

Dalam satu lagi perkongsian yang sama di Facebook seorang netizen bernama BigBoss menyatakan mengapa spesies penceroboh kura-kura buaya boleh membawa ancaman kepada ekosistem spesies tempatan.

Spesies ini merupakan spesies reptilia asing yang berasal dari Amerika Syarikat. Melihat kepada bentuknya sahaja sudah cukup menyeramkan dan apa yang membimbangkan ialah kura-kura ini mampu bersifat ganas dan agresif.

Twitter |@apaiothmn

Tidak hairanlah pak cik-pak cik dan mak cik itu terpaksa melepaskannya ke dalam tasik dengan sesuka hati mereka tanpa menyedari kemudaratannya kepada spesies haiwan akuatik lain.

Haiwan ini biasanya mempunyai ukuran sekitar 30 hingga 80 sentimeter dengan berat sehingga 100 kilogram.

Usia ‘Alligator Snapping Turtle’ mampu mencecah 100 tahun dengan menghabiskan kebanyakan hayatnya di dalam air. Selepas berada selama 40 hingga 50 minit di dalam air, haiwan ini akan menuju ke permukaan air untuk mendapatkan oksigen. 

Twitter |@apaiothmn

Mungkin kumpulan warga emas ini kurang pengetahuan tentang mudarat yang mereka bawa kepada ekosistem spesies haiwan akuatik tempatan di dalam Tasik Putrajaya atau mana-mana tasik sekali pun, selepas melepaskan spesies haiwan penceroboh asing ke persekitarannya yang asing.

Pihak berkuasa dan Perbadanan Putrajaya dikatakan sedang menyiasat perkara ini selepas satu laporan polis telah dibuat, serta akan mengambil tindakan susulan selepas mendapat bukti sekiranya kura-kura penceroboh agresif ini telah dilepaskan secara haram ke dalam tasik tersebut.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP NASIONAL

Video Popular