Bagi yang suka makan sushi pastinya tidak mahu ketinggalan untuk menikmati ikan tuna yang segar dan berkhasiat. Tuna sudah menjadi menu wajib di restoran-restoran sushi kerana pelanggan pastinya mahu menikmati sendiri keenakkan tuna mentah. Walaupun harganya lebih mahal daripada ikan lain namun itu bukan satu masalah buat penggemar tuna. Bayangkan jika anda berkesempatan mendapatkan tuna anda sendiri, apakah yang akan anda lakukan?

Jika orang lain mereka mungkin akan mengambil kesempatan untuk menikmati tuna tersebut namun tidak bagi pemancing dari Ireland ini. Mereka bahkan dengan senang hati melepaskan semula ikan tuna sirip biru yang ditangkap ke laut!

 

 

Facebook

Ikan tuna sirip biru tersebut dikatakan mempunyai berat sekitar 270 kilogram dengan kepanjangan kira-kira lapan kaki. Apa yang lebih menarik mengenai tuna tersebut ialah nilainya kerana jika tuna itu dijual harganya boleh mencecah RM 13.7 juta!

Sehingga kini, tuna berkenaan juga merupakan hidupan laut paling besar yang ditangkap di perairan Ireland sepanjang tahun ini. David Edwards yang berjaya menangkap ikan tersebut kemudian mengembalikan semula ikan ‘gergasi’ itu ke laut kerana menurutnya dia ke laut bukan untuk mendapatkan tuna bagi tujuan komersial.

Apa yang dilakukan olehnya dan beberapa orang kru di sepanjang perairan barat dan selatan Ireland ialah dengan mengambil bahagian di dalam program untuk meningkatkan bilangan tuna sirip biru yang yang semakin berkurangan.

Menurut Edwards, tuna tersebut adalah tuna yang pertama ditangkap di teluk Donegal pada tahun ini dan merupakan seekor ikan yang sangat besar. Pada mulanya mereka lihat ada seekor ikan sepanjang hampir 10 kaki tersangkut pada mata kail mereka tetapi selepas dua jam setengah ikan tersebut hilang. Walau bagaimanapun mereka tidak menyangka selepas kejadian itu akan ada ikan yang tersangkut di mata kail mereka apatah lagi ikan tersebut adalah ikan tuna sirip biru.

Gambar-gambar Edwards bersama ikan tersebut kemudian dimuat naik ke laman Facebook dan dia juga tidak ketinggalan untuk memberi penghargaan kepada kru yang turut bersamanya termasuklah John Dillon, Darren O’Sullivan dari bandar Cork serta Henk Veldman yang merupakan seorang pemancing Belanda.

Ikan tuna sirip biru adalah tuna terbesar dan paling ‘berkuasa’ di lautan yang mampu hidup selama 40 tahun. Mereka ‘berhijrah’ merentasi semua lautan dan berenang sedalam 3000 kaki ke dasar lautan. Terdapat tiga spesies tuna sirip biru iaitu Atlantik (yang terbesar dan paling terancam), Pasifik dan Selatan. Kebanyakan tuna sirip biru Atlantik diambil dari Laut Mediterranean yang merupakan perikanan tuna biru yang paling penting di dunia. Dari barat Mediterranean, ikan tuna bergerak bersama ikan herring ke pantai barat Eropah.

Jika di Jepun tuna sirip biru dijual dengan harga yang sangat tinggi dengan rekod pada Januari tahun ini, tuna seberat 278 kilogram yang ditangkap telah dijual dengan harga 333.6 juta yen atau sekitar RM 13 juta. Memandangkan spesies ini sering menjadi buruan kerana harganya yang tinggi ia telah mengakibatkan tuna sirip biru disenaraikan sebagai terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam.

worldwildlife

Disebabkan spesies ini semakin terancam, bermula tahun 2008 sehingga kini, WWF masih memantau, melindungi dan mengumpul data mengenai perpindahan tuna sirip biru supaya mereka dapat memberi nasihat kepada pengurus perikanan mengenai cara terbaik untuk melindungi spesies tersebut. WWF bersama rakan-rakannya terus berusaha untuk menghentikan penangkapan ikan yang berlebihan dan memastikan pemulihan stok Atlantik Timur dan Mediterranean supaya ikan tuna ini dapat bertahan hidup untuk jangka masa yang panjang.

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular