Kebanyakan wanita mengalami kesukaran untuk mengawal air kencing sekali gus menyebabkan ramai yang mudah terkucil walaupun sedikit ketika batuk, bersin mahupun ketawa. Jika dibiarkan menahan air kencing terlalu lama, ia mungkin akan mengakibatkan masalah yang lebih serius dan memalukan seperti yang dialami oleh wanita ini.

Seorang penumpang penerbangan yang membuat perjalanan dari Bogota ke Toronto (Kanada) mendakwa dirinya telah dilarang untuk menggunakan tandas sehingga menyebabkan wanita ini ‘terkucil’. Lebih mengejutkan lagi, wanita ini turut terpaksa bertahan di dalam kebasahan air kencingnya sendiri selama 7 jam sehinggalah pesawat melakukan pendaratan.

Gambar Hiasan | Johannes Rapprich – Pexels

Menurut laporan, penumpang wanita berusia 26 tahun ini telah menaiki pesawat Air Canada dari Bogota (Colombia) menuju ke Lapangan Terbang Dublin. Pesawat membuat perjalanan pertama dari Bogota ke Toronto namun terpaksa ditunda selama dua jam. Pada ketika itu, wanita tersebut telah meminta kebenaran daripada anak kapal untuk menggunakan tandas namun telah dihalang.

“Dalam tempoh dua jam itu, empat kali saya minta untuk menggunakan tandas dan saya beritahu kru kabin bahawa saya amat terdesak. Tetapi, saya telah diminta secara kasar untuk kembali ke tempat duduk. Kemudian, saya tidak mampu menahannya lalu terkucil”.

Gambar Hiasan | Kevork Djansezian/Getty Images

Beberapa lama kemudian, pesawat masih tidak bergerak dan wanita ini sekali lagi meminta kebenaran untuk menggunakan tandas. Namun malangnya, permintaan wanita ini untuk melepaskan ‘hajatnya’ tidak dimakbulkan.

Dia turut mendakwa bahawa akibat layanan kru penerbangan yang teruk itu, dia terpaksa bertahan selama 7 jam di dalam air kencingnya sendiri sehinggalah pesawat akhirnya melakukan persinggahan di Toronto. Setibanya di Toronto, wanita ini turut mendakwa bahawa dia terpaksa membuat tempahan hotel semata-mata untuk membersihkan dirinya!

Kejadian yang memalukan ini belum pernah didengari berlaku di mana-mana sebelum ini. Yang pasti, ia adalah satu pengalaman yang cukup memalukan dan setiap anak kapal harus diberikan pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan ini kepada penumpang lain di masa hadapan.

Gambar Hiasan | DANIEL SLIM/AFP/Getty Images

Kejadian ini dilaporkan berlaku pada bulan lalu dan wanita tersebut juga telah mengemukakan aduan kepada syarikat penerbangan atas layanan yang memalukan ini. Pihak syarikat yang kesal dengan insiden itu kemudiannya menawarkan ganjaran baucer penerbangan bernilai lebih RM1,500 kepada wanita terbabit namun telah ditolak.

“Saya rasa ia tidak mencukupi sekadar untuk memberi pampasan dalam bentuk baucer manakala semua kru kabin akan terlepas dari hukuman. Saya tidak akan gunakan baucer itu,” katanya kepada Dublin Live.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular